MP didakwa buat kenyataan timbul kegentaran awam

AHLI Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh semasa hadir ke Mahkamah Majistret Johor Bahru, Johor kerana didawa buat kenyataan boleh timbul kegenteran awam semalam. – Foto BERNAMA

JOHOR BAHRU: Ahli Parlimen Kuantan (MP) Fuziah Salleh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini semalam  terhadap pertuduhan membuat kenyataan menerusi Facebook yang boleh menyebabkan kegentaran awam, awal bulan ini.

Fuziah, 61, yang juga bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret R. Salini.

Mengikut kertas pertuduhan, Ahli Parlimen itu didakwa membuat kenyataan menerusi akaun Facebook ‘Fuziah Salleh’ di pautan https://www.facebook.com/YBFuziahSalleh, yang boleh menyebabkan kegentaran kepada awam di Taman Imigresen, Jalan Tasek Utara, kira-kira jam 10 malam, 9 April lepas.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Mohamad, manakala Fuziah diwakili peguam Hassan Karim dan John Fernandez.

Mahkamah menetapkan wang jaminan sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin dan 16 Jun depan untuk sebutan semula.

Terdahulu, sebelum prosiding dimulakan, Hassan membuat bantahan dan memohon mahkamah supaya anak guamnya dibebaskan dengan alasan anak guamnya tidak diberikan notis awal, terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan.

Hassan mendakwa Fuziah seolah-olah diserang hendap kerana tidak dimaklumkan akan dituduh mengikut seksyen terbabit.

Namun, Nor Azizah dalam hujahannya berkata saman sudah diserahkan sendiri kepada Fuziah di Kuantan, Selasa lepas di mana di dalam kandungan saman menyatakan tertuduh perlu menjawab satu pertuduhan terhadapnya mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan.

Terdahulu, Fuziah yang berbaju kurung jingga, tiba kira-kira jam 8.20 pagi di pekarangan Kompleks Mahkamah Johor Bahru diiringi suaminya Russly Abdul Rahman, dan beberapa penyokong. – BERNAMA