Ruangan kecil, terhad di Klinik Kesihatan Tanah Puteh

PATUHI SOP… Ruangan dalam klinik agak terhad dan jumlah kemasukan pesakit yang menunggu dikawal mengikut SOP yang telah ditetapkan.

KUCHING: Penularan wabak Covid-19 yang masih belum reda di Malaysia memberi impak kepada keselesaan staf dan pesakit di Klinik Kesihatan Tanah Puteh berikutan dengan ruangan yang kecil dan terhad.

Menurut seorang staf di klinik tersebut yang enggan namanya didedahkan, banyak aduan telah diterima daripada pesakit mengenai isu tersebut.

“Aduan yang diterima kebanyakkannya mengenai masa menunggu yang terlalu lama dan ketidakselesaan menunggu di tempat yang agak terhad ruangannya.

“Setelah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pihak kami sentiasa memastikan bahawa semua pesakit yang datang mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan dan oleh kerana keadaan tersebut, semua dikehendaki untuk meminimumkan penggunaan ruang bagi tujuan penjarakan fizikal,” jelas beliau.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa khemah turut didirikan bagi menampung ruang yang tersedia untuk kegunaan pesakit.

“Sekarang, khemah didirikan sebagai ruang menunggu untuk pesakit dan juga untuk membuat saringan kesihatan dan juga melakukan swab test.

“Ruangan saringan kesihatan dan ruangan untuk melakukan swab test diasingkan daripada ruangan menunggu biasa dan kami sememangnya memerlukan ruang yang lebih untuk keselesaan para pesakit,” tambah beliau.

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan bahawa pihak klinik turut menyediakan perkhidmatan temu janji bagi memudahkan urusan pesakit.

“Berikutan dengan ruangan yang sangat terhad, maka klinik menyediakan perkhidmatan temu janji. Misalnya, ibu-ibu yang mengandung disarankan untuk menghubungi pihak klinik untuk menentukan masa temu janji.

“Misalnya, sekiranya slot temu janji pada 8.00 pagi, mereka perlu datang pada 7.30 pagi untuk mendaftar dan ia bertujuan untuk mengelakkan mereka menunggu terlalu lama,” tambahnya.

Oleh RYNNA SHA’ ERRA