13 rumah panjang dikenakan sekatan pergerakan

PERINTAH SEKATAN… Suasana perintah sekatan pergerakan di Daerah Kanowit berikutan peningkatan kes positif Covid-19 di daerah tersebut.

SIBU: Perintah sekatan pergerakan dikuatkuasakan ke atas 13 rumah panjang di daerah Kanowit susulan peningkatan kes baharu positif Covid-19 di kawasan terbabit.

Ketua Polis Daerah DSP, Tega Bilong berkata, rumah panjang terbabit adalah Rumah (Rh) Benjamin Angki, Rumah Jelani, Rh Tibu, Rh Maria (Bukong), Rh Roma, Rh Anthony Ikus, Rh Dim, Rh Engkulau, Rh Katerina, Rh Manggie, Rh Samsudin, Rh Lee Kok Sing dan Rh Bidin.

“Tindakan itu dibuat atas arahan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Sibu susulan peningkatan kes positif di kawasan terbabit sehingga jam 6 petang hari ini,” jelasnya.

Menurutnya, daerah tersebut sebelum ini sifar kes positif sehingga penularan bermula dari Kluster Pasai pada 8 Januari lalu.

“Sehingga 20 Januari, sebanyak 87 kes positif dikesan dengan satu kematian di daerah ini. Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Bahagian Sibu merangkumi daerah Sibu, Selangau dan Kanowit berkuatkuasa 16 hingga 29 Januari ini,” ujarnya.

Beliau menyeru semua ketua masyarakat bersama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) untuk bersama membantu memastikan penduduk di peringkat rumah panjang mematuhi perintah sekatan itu.

Oleh AKUN GIMAN