Pupuk sikap peduli penularan Covid-19

SELESAI… Muhammad Alwi, Dr. Euphrasia Bari dan Chin Kui Nam bergambar kenangan di hadapan kain rentang Covid-19 pada Program Info On Wheels Pengagihan Risalah Covid -19 di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Chung Hua Simanggang.

VALENTINE NGUMBANG

MUNGKIN ramai orang menyangka bahawa arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)  dikuatkuasakan semenjak 18 Mac adalah merupakan satu-satunya usaha kerajaan bagi mengekang penularan pandemik Covid-19 di negara ini.

Jika demikian maka mungkin sangkaan mereka adalah tidak tepat. Ini kerana kerajaan menerusi agensinya sudah pun melaksana program memupuk sikap kepedulian penduduk terhadap penularan pandemik itu sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksana dahulu.

Ia terbukti apabila Jabatan Penerangan Daerah Sri Aman Program Info On Wheels Pengagihan Risalah Covid -19 yang berlangsung di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Chung Hua Simanggang pada awal Februari lepas.

Menerusi program berkenaan, seramai 30 orang Doktor Muda SJK Chung Hua Simanggang telah bertindak mengagih Risalah Covid-19 kepada ibu bapa di luar sekolah bagi mencapai salah satu objektif bagi program itu.

“Program yang mendapat kerjasama daripada pihak Pejabat Kesihatan Bahagian Sri Aman bertujuan menerangkan secara khusus kepada penduduk setempat di sini mengenai bahaya penularan wabak Covid-19.

“Dengan adanya program seperti ini maka kita berharap agar sikap kepedulian penduduk dipertingkat bagi membantu kerajaan membendung penularan pandemik berbahaya itu di negara kita,” kata Pegawai Penerangan Daerah Sri Aman, Muhammad Alwi.

Muhammad turut memberitahu program berkenaan telah pun bermula semenjak Januari lepas dengan pihaknya ketika itu sudah pun bergerak ke kawasan dalam dan luar bandar di sini bagi menyebar risalah mengenai isu pandemik berkenaan.

“Selain itu pihak kami juga turut menyebarkan maklumat mengenai Skim Perlindungan Nasional B40 (mySalam), eTunai Rakyat 2020 dan dasar-dasar kerajaan yang lain kepada penduduk di sini.

“Untuk menjayakan penyebaran maklumat berkenaan termasuk Covid-19, pihak kami telah pun bekerjasama dengan Komuniti Harapan Malaysia di sini bagi mencapai matlamat tersebut,” kata Muhammad.

Sementara itu, Pegawai Kesihatan Bahagian Sri Aman, Dr. Euphrasia Bari ketika ditemui pada program itu berkata pihaknya akan terus memantau aktiviti keluar masuk individu Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Lubok Antu dari semasa ke semasa.

Euphrasia turut menambah bahawa pihaknya sudah pun mengadakan menyebarkan isu wabak tersebut menerusi siaran radio di samping melaksana program langkah menangani wabak itu di rumah panjang dan sekolah di sini.

Hadir sama untuk menjayakan Program Info On Wheels Pengagihan Risalah Coronavirus atau Covid-19 berkenaan di SJK Chung Hua Simanggang berkenaan adalah Guru Besarnya, Chin Kui Nam.

Menjelang 27 April lepas, Malaysia sudah pun merekod sejumlah 5,780 kes Covid-19 dengan 98 orang penduduk di negara ini terkorban disebabkan oleh jangkitan pandemik berbahaya berkenaan.

Dalam masa yang sama (27 April), pandemik Covid-19 tersebut juga meragut hampir 207,009 nyawa penduduk di seluruh dunia dengan Amerika Syarikat mendahului senarai penduduk negara tertinggi yang mengalami kematian akibat pandemik itu (55,415 orang).

Kadar kematian tertinggi menjelang tarikh itu diikuti oleh Itali (26,644 orang), Sepanyol (23,190 orang), Perancis (22,856 orang), United Kingdom (20,732 orang), Belgium (7,094 orang), Iran (5,710 orang), China (4,633), Belanda (4,475 orang) dan Brazil (4,286 orang).