FAS, PSS bangunkan bola sepak Sarawak

KERJASAMA Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) dan Perbadanan Sukan Sarawak (PSS) yang mematerai Memorandum Persefahaman (MoU) dalam masa terdekat amat dialu-alukan.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Karim Hamzah Abdul Rahman mengucapkan tahniah kepada dua agensi berkenaan dalam usaha membangunkan program pembangunan bola sepak pelbagai peringkat di Bumi Kenyalang.

“Kerjasama ini akan menggariskan pembahagian tugas perlawanan serta pelaksanaan program yang bakal dilancarkan pada musim 2021.

“Kementerian Belia dan Sukan Sarawak turut mengalu-alukan inisiatif ini yang mana pusat lain yang dikendalikan sepenuhnya oleh PSS akan melibatkan FAS dari segi penyediaan jurulatih, pengadilan dan teknikal,” katanya.

Karim juga melihat peranan FAS pada peringkat Program Kenyalang (PK) pula akan bertambah bagi meningkatkan lagi bakat pemain muda menerusi Program Elit (PE) iaitu bagi mereka yang memasuki Piala Belia, Presiden dan SUKMA.

“Saya turut mengucapkan tahniah kepada bekas jurulatih bola sepak skuad Sarawak iaitu David Usop yang dilantik sebagai Pengarah Teknikal. David amat pengalaman dalam memacu pembangunan bola sepak di negeri ini.

“Langkah yang diambil dalam pembahagian peranan kedua-dua agensi sukan ini diselaraskan daripada peringkat pengurusan, pengadilan, gerak atur program pembangunan, kursus-kursus khas dan sebagainya,” jelasnya lagi.

Beliau turut mengucapkan syabas kepada FAS yang berwajah baharu berserta komitmen barisan pengurusan komited merealisasikan impian itu bersama PSS untuk satu pelan jangka masa panjang bagi memastikan bola sepak Sarawak terus maju.

Oleh ASYRAF HALIM