PENGUSAHA HOTEL DIMINTA BERSABAR

SIDANG MEDIA‚Ķ Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah (tengah) ketika sesi soal jawab Majlis Pelantikan Sebagai Penganjur Bersama Kejohanan ‘MYSS E-Football PES 21 Stay At Home’ di Kota Samarahan, semalam.

KOTA SAMARAHAN: Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, berharap agar pengusaha hotel di Sarawak untuk kekal bersabar dalam tempoh genting ini.

Menurut beliau, Kerajaan Sarawak sudah membuka satu jalan membantu pengusaha industri ini dengan menjadikan hotel sebagai pusat kuarantin sementara.

“Saya akui, pada permulaan (pandemik) tahun lalu banyak hotel menghadapi kesukaran kerana bisnes tidak dapat dijalankan dalam tempoh masa yang panjang.

“Namun, apabila kita (Kerajaan) menggunakan hotel sebagai pusat kuarantin mandatori bagi mereka yang masuk dari Semenanjung Malaysia atau Sabah, saya lihat industri ini dapat kembali bernafas.

“Banyak hotel di Miri, Sibu, Bintulu, Limbang digunakan, jadi sedikit sebanyak hotel ini tidak lagi terbeban seperti langsung tidak ada bisnes.

“Bahkan, kalau kita teliti semula, terdapat beberapa hotel yang mempunyai jumlah penghunian pada masa ini adalah melebihi berbanding sebelum Covid-19 melanda, jadi ini satu perkara yang baik,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media Majlis Pelantikan Sebagai Penganjur Bersama Kejohanan ‘MYSS E-Football PES 21 Stay At Home’ di sini, semalam.

Di samping itu, Abdul Karim turut tidak menafikan beberapa industri lain turut terjejas teruk sejak pandemik ini melanda negara tahun lalu.

“Industri lain seperti pengusaha restoran, ‘travel and tour’ termasuk yang berkaitan dengan hiburan seperti lounge, mereka turut mengalami masalah yang berat, dan semua ditutup.

“Jadi, setiap pihak mengalami permasalahan yang sama, dan saya berharap agar semua pengusaha industri ini untuk terus bertahan buat masa ini,” jelasnya lagi.

Dalam hal berkaitan, Abdul Karim yakin bahawa selepas vaksinasi dilakukan dalam tempoh yang terdekat ini, ekonomi akan kembali pulih.
Tegasnya, semua industri yang terjejas sebelum ini pasti akan dapat menjalankan perniagaan mereka semula, bahkan mungkin dengan lebih baik.

Oleh AKMAL ADIB YUSUP