Premis jual kelengkapan elektronik dipantau

PANTAU… Mogan a/l Arumugam memantau harga produk di salah sebuah premis semasa mengadakan Walkabout KPDNHEP sempena Pelaksanaan Pemeriksaan Ops Catut 8.0 (Kelengkapan Elektronik – Komunikasi) di bawah AKHAP 2011 di salah sebuah kompleks beli-belah di Kuching. • Foto ANDRE OLIVEIRO

KUCHING: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sarawak melaksanakan pemeriksaan ke atas premis yang menjual barangan kelengkapan elektronik berikutan peningkatan permintaan barangan tersebut di pasaran.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Negeri KPDNHEP Sarawak, Mogan a/l Arumugam berkata, pemeriksaan tersebut dilaksanakan di bawah Ops Catut 8.0 (Kelengkapan Elektronik – Komunikasi) di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 bagi memantau dan mengawal kenaikan harga barangan tersebut.

“Pemeriksaan barangan kelengkapan elektronik ini menyasarkan kepada lima barangan yang mendapat permintaan tinggi iaitu komputer meja (desktop), komputer riba (laptop), tablet, mesin pencetak (printer) dan telefon pintar.

“Dari 2020 sehingga Januari 2021, KPDNHEP Sarawak telah membuat pemeriksaan ke atas 62,866 premis meliputi semua peringkat seperti pengilang, pengimport, pengeluar, pemborong dan peruncit meliputi kawasan bandar dan luar bandar di seluruh negeri Sarawak.

“Bermula 25 Januari 2021 sehingga hari ini (semalam), sebanyak 19 notis pengesahan maklumat barangan dikeluarkan oleh KPDNHEP Sarawak bagi mendapat maklum balas berkaitan kenaikan harga,” katanya.

Tambah Morgan, sepanjang tempoh tersebut iaitu dari 2020 sehingga Januari 2021, KPDNHEP Sarawak telah menghasilkan keseluruhan kes sebanyak 948 kes dengan nilai rampasan bernilai RM3,065,206.54 dan jumlah kompaun bernilai RM330,400.00.

“Berdasarkan pemeriksaan, kesemua kedai atau premis memaparkan harga dengan sangat jelas dan barangan yang dijual agak berpatutan memandangkan setiap premis mencuba untuk menarik pelanggan kerana setelah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), jumlah pelanggan yang berkunjung ke premis berkurang.

“Setelah pelaksaan PKP, lebih ramai pelanggan yang memilih untuk membeli barangan secara atas talian.

“Pelanggan yang memilih untuk membeli secara atas talian adalah disarankan untuk membandingkan harga terlebih dahulu, kenal pasti laman web tersebut merupakan laman web yang boleh dipercayai dan ketahui hak anda sebagai seorang pengguna,” tambahnya.