Ada kemungkinan PKP dilanjutkan

SHEILA ZAIDI

KUCHING : Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg tidak menolak kemungkinan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan sekiranya masyarakat masih berdegil dan tidak mematuhi perintah itu.

Abang Johari berkata, seperti yang diketahui, perintah itu adalah bagi mengekang penyebaran wabak Covid-19 daripada menjangkiti lebih ramai orang.

“Kita telah bertindak secara serius sejak Januari lagi malah telah menyekat kemasukan orang asing ke negeri ini.

“Langkah PKP diambil dengan tujuan untuk mengelakkan lebih ramai orang awam yang dijangkiti wabak yang membawa maut ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan sidang media khas COVID-19 -Pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang di Wisma Bapa Malaysia semalam.

Menurut Abang Johari,  virus ini merebak dengan sangat pantas dan telah menular ke banyak negara di dunia.

Malah, katanya, ada sesetengah negara menjalankan perintah yang lebih ketat dalam memerangi penularan wabak itu dan berjaya menurunkan kadar jangkitan.

Dengan langkah PKP yang diambil itu, katanya, diharapkan bilangan orang yang dijangkiti virus ini dapat diturunkan dan tempoh PKP dapat ditamatkan.

Tegasnya, apa yang berlaku di Sarawak sekarang perlu dijadikan sebagai iktibar dan langkah yang diambil oleh kerajaan ini adalah demi kebaikan rakyat.

“Oleh yang demikian, saya menyeru semua rakyat untuk terus berada di rumah sepanjang tempoh PKP ini dan patuhi semua arahan yang telah dikeluarkan.

“Kita perlu bersabar untuk sedikit masa sahaja lagi dan sama-sama kita memerangi wabak ini daripada terus menular,” ujarnya. Rakyat katanya, hanya perlu mematuhi semua arahan dan menyerahkan urusan-urusan lain kepada kerajaan untuk memastikan keadaan kembali normal.