Dr. Sim bidas kenyataan Chong

Dr. Sim Kui Hian

CONNIE CHIENG

KUCHING: Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Dato’ Sri Dr. Sim Kui Hian membidas Ahli Parlimen Stampin, Chong Chieng Jen dan pembantu peribadinya, Michael Kong, kerana membuat fitnah dan tuduhan tidak berasas kepada beliau, SUPP dan GPS dengan tujuan untuk mengelirukan warga Sarawak.

Dr. Sim berkata, walaupun kedua-dua mereka telah diberi surat bertarikh 3 April oleh Kementerian Kebajikan yang menerangkan isu peruntukan kebajikan, mereka masih lagi membuat kenyataan yang tidak berasas.

Beliau berkata, surat tersebut telah menerangkan bahawa Kerajaan Sarawak telah menukar arahan terdahulu berkenaan dengan peruntukan tersebut dan Kerajaan Sarawak telah memberi keterangan bahawa peruntukan tersebut akan diperuntukkan menerusi pejabat daerah atau Jawatankuasa Pengurusan Bencana dan bukannya menerusi ahli Dewan Undangan Negeri.

Namun, Dr. Sim berkata, Chong dan Kong masih lagi membuat kenyataan fitnah dan tuduhan tidak berasas di laman media sosial Facebook bahawa Dr. Sim telah menyalahguna kuasa untuk mengawal peruntukan bahan makanan untuk membantu mereka yang memerlukan pada masa wabak ini.

Beliau menyeru Chong dan Kong jangan bermain politik kerana kebajikan warga Sarawak adalah lebih penting dan kenyataan yang tidak berasas ini tidak harus dibuat langsung dan sebaliknya mereka berdua perlu meminta maaf di atas kesilapan ini.

“Sebagai peguam dan ahli politik, kedua-dua mereka tidak seharusnya berbuat demikian untuk kepentingan politik masing-masing dan ini amat menyedihkan,” kata Dr. Sim.

Dr. Sim menyeru warga Sarawak supaya jangan terpedaya dengan fitnah ini dan sebaliknya bersatu untuk menangani isu wabak Covid-19.