Izzat bawa pertanian salad ke tanah rendah

HADI menunjukkan hasil tanamannya. Kebun Hadi yang terletak di Kampung Seberang Sarikei berada dalam rumah hijau yang dibinanya sendiri.

Berbekalkan pengalaman selama tiga tahun sebagai seorang saintis senior di salah sebuah syarikat bioteknologi di Seri Kembangan, Selangor, anak jati Sarawak berasal dari Sarikei ini pulang ke kampung halaman untuk menceburkan diri dalam bidang pertanian moden.
 
Awang Muhammad Izzat Al Hadi Awang Salleh, 28, merupakan graduan jurusan Bioteknologi di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), nekad untuk membawa pertanian salad ke kawasan tanah rendah.
 
Ditanya bagaimana beliau tergerak hati untuk menceburkan diri dalam bidang ini, beliau menjawab bahawa minat mula berputik ketika mengunjungi Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro-pelancongan Malaysia (MAHA) pada tahun 2016 di MAEPS Serdang.
 
“Saya tertarik melihat set hidroponik yang canggih hasil kajian Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) yang dipamerkan di reruai mereka dan dari sana, saya mula belajar dan mendalami ilmu hidroponik.
 
”Selain itu, saya juga kerap melawat kebun hidroponik untuk belajar dan mengenal pasti masalah yang dihadapi oleh pekebun agar dapat mencari jalan penyelesaian untuk set hidroponik yang saya hasilkan,” jelasnya yang senang disapa sebagai Hadi
 
Beliau berkata setelah melihat beberapa gambar hasil tanaman salad di kawasan tanah tinggi di Kundasang Sabah dalam perkongsian rakannya di media sosial, beliau terpanggil untuk membuat beberapa percubaan tanaman salad di tanah rendah kerana ia susah didapati dan harganya juga tinggi.
 
Tambah beliau lagi, salad secara umumnya hanya ditanam di kawasan tanah tinggi atau yang beriklim sejuk kerana faktor kesesuaian tanaman pada suhu yang sejuk dan mempunyai sinaran matahari yang mencukupi.
 
“Tanaman salad di Kampung Seberang Sarikei menggunakan kaedah hidroponik DFT iaitu “Deep Flow Technique” kerana ia mampu membekalkan nutrisi yang cukup untuk tumbesaran pokok di samping mengelakkan sayur daripada layu pada waktu tengahari ketika suhu tinggi.
 
“Setelah beberapa percubaan penanaman dijalankan menggunakan set hidroponik ciptaan sendiri, salad boleh ditanam di kawasan tanah rendah jika baja, tadahan cahaya matahari dan suhu dapat dikawal bagi menghasilkan salad yang mempunyai tekstur, warna dan rasa yang sama seperti di tanah tinggi di samping mengelakkan ia menjadi pahit,” terangnya.
 
Kata Hadi, disebabkan kos pembinaan rumah hijau adalah amat tinggi, beliau mengambil keputusan untuk bukan sahaja mengendalikan sendiri bentuk rekaan dan struktur rumah tersebut, malah pembinaan juga dilakukan sendiri.
 
“Pada peringkat awal, salad hanya dijual kepada penduduk Kampung Seberang Sarikei, namun kini, salad segar ini sudah menapak di Pasar Sentral Sarikei untuk dijual bermula dari jam 6.30 pagi sehingga habis jualan.
 
“Walaupun musim Covid-19 menyebabkan pelanggan berkurang di pasar, namun permintaan salad segar masih tinggi dalam kalangan penduduk tempatan yang mana banyak tempahan diterima secara atas talian melalui aplikasi Facebook dan WhatsApp,” ujarnya.
 
Disamping tanaman salad, beliau juga sedang giat melakukan tanaman cili dan tomato menggunakan kaedah fertigasi yang dipelajari hasil mengikuti kursus ‘Agriculture Community Outreach Programme’ (AGRICORP) yang dianjurkan oleh Jabatan Pertanian Bahagian Sarikei dengan Kerjasama kerajaan negeri Sarawak.
 
Jelas beliau, adalah amat penting untuk berada dalam komuniti atau bidang yang sama dalam memulakan apa jua perniagaan yang diceburi kerana selain bertukar-tukar idea, ia turut menambah pengetahuan dengan mempelajari ilmu yang baharu dari pengalaman mereka.

Oleh ASYRAF HALIM