Perhilitan tangkap beruang matahari

ANGGOTA Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu memeriksa seekor beruang matahari yang masuk ke dalam perangkap di Kampung Pengkalan Berangan semalam.• Foto BERNAMA

MARANG:  Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) berjaya menangkap dua ekor beruang jantan di Kampung Pengkalan Berangan, di sini dan  Kampung Batu Tiong, Dungun, yang dipercayai berkeliaran dan merosakkan tanaman penduduk.

Pengarah Perhilitan Terengganu Dr. Abdul Malek Mohd Yusof berkata, tangkapan kedua-dua beruang matahari itu merupakan yang pertama tahun ini, susulan aduan penduduk.

“Beruang seberat 70 kilogram (kg) ditangkap di Kampung Pengkalan Berangan awal pagi semalam, yang dipercayai datang dari hutan berhampiran.

“Seekor lagi beruang seberat 80 kg ditangkap di Kampung Batu Tiong, Dungun, malam semalam. Beruang itu masuk ke perangkap yang disediakan Perhilitan pada Ahad lepas,” katanya, ketika dihubungi Bernama.

Dr Abdul Malek berkata, kedua-dua haiwan itu akan dilepaskan ke habitat yang sesuai di Taman Negara Terengganu tidak lama lagi.

 Beliau turut menasihati penduduk agar tidak mengambil tindakan sendiri sekiranya terserempak dengan mana-mana haiwan liar, sebaliknya segera membuat aduan kepada Perhilitan untuk tindakan lanjut.

Sementara itu Ali Yusof, 61, seorang pesara guru dari Kampung Pengkalan Berangan meluahkan rasa lega apabila beruang yang sering merosakkan log madu kelulut miliknya sejak 15 Januari lepas akhirnya berjaya ditangkap Perhilitan.

Ali berkata, beliau kerugian hampir RM10,000 apabila 16 log madu kelulut yang dipelihara di belakang rumahnya rosak akibat serangan haiwan liar tersebut.– Bernama