Team Avengers HIKMAH Miri lancar Projek Infaq Susu

PENERIMA cilik dari Tadika HIKMAH Miri.

Di saat pelbagai kesukaran dihadapi masyarakat semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung wabak Covid-19, sekumpulan sukarelawan daripada Karakah Islamiah (HIKMAH) Cawangan Miri mengambil inisiatif membantu golongan kurang berkemampuan di sekitar Bahagian Miri serta memanjangkan bantuan sehingga ke Kuching dan Sabah.

Pasukan yang menggelar diri mereka Team Avengers HIKMAH Miri memulakan Projek Infaq Susu dengan objektif mengagihkan bantuan pek susu percuma kepada kanak-kanak berusia satu sehingga enam tahun yang terjejas atau terputus bekalan susu semasa PKP dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Projek ini telah dimulakan oleh Raihan Usop yang merupakan Setiausaha Perhubungan HIKMAH Sarawak dan sahabat beliau Syarifah Syasyila Aidid yang ingin menyumbang infaq bagi pihak ibu beliau yang terlantar sakit.

“Semasa menyertai sebuah program bantuan yang dianjurkan oleh pihak Baitulmal Sarawak tahum lepas, kami mendapati ramai yang terkesan dengan PKP dan PKPB yang diakibatkan oleh Covid-19 sehingga kehilangan kerja dan punca pendapatan,”ujar Raihan yang merupakan seorang peguam syarie dan juga penceramah bebas, “kanak-kanak tidak terkecuali terkesan dengan situasi ini sehingga mereka terputus bekalan susu dan disebabkan kesedaran inilah, kami memulakan projek Infaq Susu Covid-19.”

Menurut beliau, lebih 300 orang penerima di sekitar bahagian Miri telah menerima bantuan berbentuk pek susu tepung semasa Projek Infaq Susu pertama yang telah dilaksanakan bermula Mei 2020.

Para penerima pek susu adalah mereka yang dikenalpasti dari keluarga fakir, miskin, ibu tunggal, orang kelainan upaya (OKU) dan mereka yang hilang sumber pendapatan.
Bantuan tersebut telah diagihkan oleh lima orang sukarelawan dari HIKMAH Cawangan Miri ke kawasan sekitar Bandaraya Miri sehingga ke kawasan pinggiran bandar termasuk Kuala Baram dan Subis.
“Pelaksanaan projek ini telah menarik perhatian syarikat Dutch Lady Malaysia dan mereka telah bersetuju untuk meneruskan sumbangan pek susu sebagai tanda sokongan dan solidariti syarikat berkenaan dalam meringankan beban mereka yang terkesan sepanjang PKP dan PKPB,” ujar beliau lagi.
Untuk Projek Infaq Susu kali kedua yang telah diadakan dalam bulan November 2020, ia telah melibatkan sukarelawan dari HIKMAH Cawangan Miri dan yang menariknya, projek berkenaan telah dipanjangkan ke Kuching dan Kota Kinabalu Sabah dengan bantuan sukarelawan-sukarelawan di lokasi tersebut.

“Objektif kali ini adalah untuk mengagihkan bantuan pek susu percuma kepada kanak-kanak berusia satu sehingga enam tahun yang terjejas dan putus bekalan susu kerana ibu bapa mereka hilang pekerjaan atau punca pendapatan akibat PKP serta golongan memerlukan,” tambah Raihan lagi.

Sejumlah 200 orang penerima di tiga lokasi (50 orang di Miri, 50 orang di Kuching dan 100 orang di Kota Kinabalu) tersebut telah menerima pek susu Dutch Lady 123 serta pek bantuan makanan sumbangan organisasi bukan kerajaan dan individu-individu yang prihatin.

“Insha Allah kami akan meneruskan projek ini sekiranya kami mendapat bantuan dan sokongan daripada semua pihak,” kata Raihan lagi, “kita hendaklah sentiasa memurnikan niat dan sangkaan kepada sesama manusia, teruskan berkasih sayang dan saling menghormati. Semoga wabak dan situasi sukar ini akan berakhir segera dan kita semua akan dapat meneruskan kehidupan dalam normal hidup yang walau berbeza akan pasti lebih baik dan selamat.”

Bagi mereka yang ingin menyumbang atau menghulurkan bantuan serupa boleh menghubungi Raihan atau suami beliau Jemain Kassim yang juga merupakan Ahli Majlis Tertinggi HIKMAH Sarawak.

Oleh Sofie Sofian