RM141.7 juta bantu PKS

DATUK Amar Awang Tengah Ali Hasan ketika sidang Media Inisiatif Tambahan Bagi Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di Bawah Bantuan Khas Sarawakku Sayang 5.0 (BKSS 5.0) di Wisma Sumber Alam, semalam.

KUCHING: Kerajaan Sarawak memperkenalkan tujuh inisiatif bantuan tambahan bernilai RM141.7 juta di bawah Bantuan Khas Sarawakku Sayang BKSS 5.0 (BKSS 5.0) bagi membantu Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dalam menghadapi kesukaran dan cabaran daripada pandemik Covid-19 ini.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, tujuh pakej bantuan tambahan tersebut kebanyakkanya menambah peruntukan untuk skim sedia ada serta dua inisiatif baharu turut diperkenalkan yang dijangka akan memberi manfaat kepada 10,000 usahawan.

“Ketua Menteri juga telah mengarahkan saya untuk mengkaji dan membincangkan mengenai bantuan-bantuan berbentuk kewangan bagi membantu para PKS di Sarawak dalam menghadapi kesukaran dan cabaran kesan daripada pandemik Covid-19 ini.

“Oleh demikian, Kementerian saya telah mendapatkan pandangan daripada persatuan usahawan, institusi kewangan dan pemain industri termasuk mendengar keluhan rakyat terutamanya golongan usahawan, yang bimbang akan perniagaan mereka yang terkesan akibat penularan wabak ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Inisiatif Tambahan Bagi Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di Bawah Bantuan Khas Sarawakku Sayang 5.0 (BKSS 5.0) di Wisma Sumber Alam di sini, semalam.

Beliau yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan berkata, inisiatif tersebut iaitu tambahan sebanyak RM50 juta di bawah Skim Kredit Mikro Sarawak (SKMS), tambahan RM20 juta kepada RM2 juta yang sedia ada di bawah Skim Pinjaman Industri Kecil dan Sederhana (SPIKS), menyediakan RM22.2 juta subsidi faedah bagi Kemudahan Bantuan dan Pemulihan Bersasar (TRRF).

Selain itu, kementerian juga menyediakan RM2.5 juta subsidi faedah bagi PENJANA Tourism Financing (PTF), tambahan RM20 juta kepada RM3 juta yang sedia ada di bawah Program Graduan ke Arah Keusahawanan (GERAK) dan Usahawan Teknikal dan Vokasional (USTEV).

Terdapat dua inisiatif baharu yang diperkenalkan iaitu Program Go Digital Sarawak yang menyediakan peruntukan sebanyak RM20 juta dan RM2 juta bagi Program Latihan Digital Marketing. Kedua-dua program tersebut adalah untuk membantu usahawan kita dalam meningkatkan produktiviti dan mengembangkan pasaran melalui digital platform.

Bagi Skim Kredit Mikro Sarawak (SKMS), Awang Tengah berkata, kerajaan bersetuju untuk memberi tambahan RM50 juta dengan faedah 4 peratus setahun untuk membantu semua PKS Sarawak termasuk pengusaha mikro dan B40.

“Memandangkan sambutan yang amat menggalakan terhadap skim ini dalam kalangan usahawan Sarawak, maka Kerajaan Sarawak bersetuju untuk menambah peruntukan SKMS sebanyak RM50 juta untuk tahun 2021.

“Bagi pengusaha B40, mereka akan menikmati sifar faedah untuk pinjaman sehingga RM10,000 yang telah kita laksanakan sejak tahun lalu. Untuk pinjaman lain sehingga RM50,000, pengusaha akan menikmati subsidi faedah tiga setengah tahun.

Katanya, SKMK hanya memerlukan permit perniagaan yang dikeluarkan oleh Majlis atau pihak berkuasa yang berkaitan untuk membuat proses permohonan.

“Setakat ini, SKMS telah berjaya memanfaatkan 1,370 PKS termasuk usahawan mikro dan B40 dengan jumlah kelulusan pinjaman sebanyak RM44.8 juta. Mereka semua kini menikmati subsidi faedah tiga setengah tahun dan moratorium 6 bulan
“Kerajaan Sarawak juga bersetuju untuk melanjutkan moratorium selama enam bulan bagi peminjam sedia ada manakala bagi peminjam baru SKMS yang diluluskan sehingga 30 Jun 2021, mereka juga layak untuk menikmati enam bulan moratorium dan bantuan subsidi faedah selama tiga tahun setengah. Inisiatif ini dijangka akan memberi faedah kepada lebih 1,700 PKS baru.

“Setakat Januari 2021 sebanyak 180 permohonan baru masih dalam proses penilaian,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kerajaan juga turut memberi tambahan RM20 juta kepada RM2 juta yang sedia ada di bawah Skim Pinjaman Industri Kecil dan Sederhana (SPIKS) untuk mengembangkan perniagaan mereka dari segi modal kerja dan pembelian mesin serta peralatan.

“Kerajaan Sarawak juga bersetuju untuk memperuntukkan tambahan peruntukan sebanyak RM20 juta kepada RM2 juta yang sedia ada untuk pelaksanaan program ini.

“Bagi permohonan baru yang diluluskan sebelum 30 Jun 2021, Kerajaan juga bersetuju untuk memberi moratorium selama 6 bulan dan subsidi faedah selama tiga tahun setengah (42 bulan). Skim ini dijangka akan memberi manfaat kepada lebih 200 PKS baru,” katanya.

Oleh JEAKQLEYN YACHO