Barisan bintang buru kejuaraan

E.Elavarasan

SARAWAK UNITED dilihat telah berbelanja besar pada musim ini dengan membawa masuk ramai bintang senior yang dijangka akan menggunakan pengalaman bagi bersaing merebut kejuaraan Liga Primer musim 2021.

Dengan membawa masuk beberapa pemain tempatan seperti Norshahrul Idlan Talaha, Christie Jayaselan, S. Veenod dan S Chanturu, sesungguhnya Sarawak United amat serius untuk menghadapi saingan sekali gus mampu membawa balik kejuaraan pada kali ini.

Ini termasuk dengan kehadiran pemain import yang agak berusia seperti bekas bintang Kedah dan Selangor, Sandro Mendonca, Lee Chang-Hoon yang pernah beraksi bersama Melaka United dan Taylor Reagan.

Purata umur pemain-pemain yang disenarakan skuad Sarawak United rata-rata 30 tahun ke atas, namun ini tidak menghalang mereka merebut mendapatkan tempat dalam skuad utama.

Walaupun peminat beranggapan pasukan ini sudah menjadi ‘kuda tua’, tetapi jika dilihat dari sudut yang positif, pengalaman daripada pemain-pemain ini boleh digunakan untuk membentuk pemain-pemain muda yang ada dalam skuad sekarang.

Ini ditambah lagi dengan ‘rencah’ daripada jurulatih yang berkualiti iaitu E.Elavarasan dan B. Sathianathan semestinya mampu mengorek kualiti pemain-pemain yang ada bagi menampilkan persembahan yang terbaik nanti.

Justeru, ia juga adalah sebagai pelan jangka masa panjang untuk memastikan pasukan Sarawak yang baharu dapat dibentuk dan seterusnya dapat membawa kejayaan mengembalikan kegemilangan sukan bola sepak di negeri ini.

Oleh ASYRAF HALIM