MPC komited tingkat kecekapan pengawalseliaan

“Langkah ini dijangka dapat menarik lebih banyak pelaburan langsung asing (FDI) ke Malaysia. Satu daripada kekuatan yang Malaysia ada untuk menarik lebih banyak FDI ke negara ini adalah dalam aspek berurusan dengan permit pembinaan yang mana kita menunjukkan penambahbaikan memberangsangkan dari segi rangking petunjuk berdasarkan Laporan Menjalankan Perniagaan Bank Dunia yang membanding 190 ekonomi di seluruh dunia.”-Datuk Abdul Latif Abu Seman

KUALA LUMPUR: Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) komited untuk meningkatkan kecekapan pengawalseliaan dalam berurusan dengan permit pembinaan (DCP) bagi memberikan kelebihan kompetitif kepada Malaysia dan memudahkan untuk menjalankan perniagaan.

Ketua Pengarah MPC, Datuk Abdul Latif Abu Seman berkata, langkah ini dijangka dapat menarik lebih banyak pelaburan langsung asing (FDI) ke Malaysia.

“Satu daripada kekuatan yang Malaysia ada untuk menarik lebih banyak FDI ke negara ini adalah dalam aspek berurusan dengan permit pembinaan yang mana kita menunjukkan penambahbaikan memberangsangkan dari segi rangking petunjuk berdasarkan Laporan Menjalankan Perniagaan Bank Dunia yang membanding 190 ekonomi di seluruh dunia,” katanya.

Malaysia berada di kedudukan ke-173 apabila petunjuk itu diperkenalkan pada 2007.

Dalam masa enam tahun, Malaysia berjaya meningkatkan kedudukannya kepada dua digit pada 2013 dan beberapa tahun kebelakangan ini, kedudukan itu telah melonjak ke tempat ketiga pada 2019 dan kedua pada 2020 dalam kalangan 190 ekonomi.

“Ini memberikan kelebihan kompetitif kepada negara. Namun, masih banyak yang perlu dilakukan untuk meningkatkan kecekapan pengawalseliaan dalam DCP,” katanya.

Abdul Latif berkata, MPC komited meningkatkan kecekapan pengawalseliaan dalam DCP dan mengesahkan bahawa ia akan mengadakan bengkel mengenai perkara itu bagi mengenal pasti punca-punca masalah pengawalseliaan dalam DCP dan membangunkan penyelesaian serta pelan tindakan bagi menangani cabaran itu.

Bengkel yang diadakan pada 8 Februari itu akan disertai pemegang kepentingan berkaitan daripada sektor awam serta swasta dan akan dimudahcarakan oleh PEMUDAH (Pasukan Petugas Khas untuk Memudahkan Perniagaan) menerusi kumpulan kerja teknikalnya mengenai DCP.

Pengerusi Bersama PEMUDAH, Datuk Dr Andy K.H. Seo berkata, bengkel itu akan disertai badan kerajaan berkaitan, pemain industri dan agensi teknikal dengan tujuan mencari penyelesaian terbaik menangani cabaran yang dihadapi komuniti perniagaan.

“Kami berharap dapat menumpu, antara lainnya, kepada ketidakselarasan antara peraturan dan amalan dalam mendapatkan kelulusan permit pembinaan, prosedur mengelirukan keperluan nisbah ruang terbuka dan isu-isu mengenai tempat tinggal buruh berpusat.

“Kami juga mahu mengusulkan cadangan mengenai penyelesaian yang boleh dilaksanakan bagi memastikan mekanisme yang lancar daripada permohonan sehinggalah bermulanya kerja pembinaan,” katanya.- Bernama