Diskaun bil elektrik, bil air

KUCHING: Kerajaan Sarawak akan memberikan diskaun kepada pengguna domestik, komersial dan perindustrian bagi pembayaran bil elektrik dan bil air selama enam bulan dari April hingga September 2020.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata pemberian diskaun ini adalah antara dua pendekatan dalam Pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang.

“Bagi pengguna domestik, komersial dan perindustrian, mereka akan diberi diskaun 5 peratus hingga 25 peratus pada bil elektrik bulanan mereka untuk April hingga September 2020.

“Diskaun ini akan memberi manfaat kepada 686,847 pengguna di seluruh Sarawak. 

“Kos purata untuk diskaun bil elektrik bulanan ialah RM27.8 juta dan kos diskaun kumulatif berjumlah RM166.8 juta dan diskaun khas bil elektrik ini akan ditanggung oleh Kerajaan Sarawak,” katanya pada Sidang Media Khas Covid-19 -Pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang di Wisma Bapa Malaysia di sini semalam.

Beliau turut mengumumkan diskaun 10 peratus hingga 25 peratus bagi bil air bulanan pengguna domestik, komersial dan perindustrian di negeri ini.

“Diskaun khas ini juga akan diberikan pada bulan April hingga September 2020 yang akan memberi manfaat kepada 568,247 pengguna di seluruh negeri.

“Kos purata untuk diskaun bil bulanan air adalah sekitar RM4.2 juta dan kos diskaun kumulatif adalah RM25.26 juta yang turut ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Sarawak,” ujar beliau.

Ditanya kenapa pemberian bantuan serta diskaun adalah sepanjang tempoh enam bulan, Abang Johari berkata, pemberian bantuan ini adalah bagi memberi bantuan kepada rakyat yang terkesan selepas tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Tempoh PKP ini adalah selama dua minggu namun kesannya mungkin akan berlarutan sehingga enam bulan.

“Oleh itu, selepas dua minggu, kita tidak mahu rakyat kita terbeban dan untuk semuanya kembali normal termasuk golongan perniagaan adalah dalam masa enam bulan ini,” kata Abang Johari.