Pelajar OKU tetap komited

BERKOMUNIKASI BAHASA ISYARAT… Pelajar Orang Kelainan Upaya (OKU) Ahmad Zubaidi Helmi, 19, (kanan) yang ditemani ibu Normah Harun, 46, mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) di Kampung Mengabang Lekor semalam. • Foto BERNAMA

KUALA NERUS: Mendengar penerangan guru menerusi video dalam laman YouTube dan bertegur sapa dengan rakan sekelas melalui Google Meet adalah saat paling menggembirakan bagi pelajar yang  menjalani proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Namun, suasana ceria itu tidak dapat dirasai oleh pelajar OKU (orang kurang upaya) berikutan keterbatasan mereka, menyebabkan guru dan ibu bapa perlu lebih kreatif dalam memastikan PdPR dapat berjalan lancar.

Seorang ibu, Rahimah Zainal, 39, berkata, kreativiti guru dan sokongan keluarga sangat penting untuk menjayakan PdPR anaknya, Danisya Amelyn Ruzaki, 17, yang mempunyai masalah pendengaran agar tidak ketinggalan dalam pelajaran.

“Memang susah pada peringkat awal PdPR kerana anak saya bergantung sepenuhnya kepada bahasa isyarat untuk berkomunikasi. Jika pelajar lain mungkin agak mudah menjalani PdPR kerana banyak sumber rujukan video daripada guru lain di seluruh Malaysia.

“Namun, untuk pelajar berkeperluan khas, mereka memerlukan tumpuan khusus daripada guru yang mengajar dengan penggunaan bahasa isyarat. Mahu atau tidak, kami di rumah juga perlu sentiasa membantu agar anak kekal fokus untuk mengikuti pembelajaran secara dalam talian ini,” katanya, ketika dihubungi Bernama semalam.

Bagi Normah Harun, 46, kesungguhan guru-guru yang mengajar anaknya, Ahmad Zubaidi Helmi, 19, sangat dihargai kerana ia bukanlah satu perkara yang mudah.

Sementara itu, guru yang mengajar kelas berkeperluan khas, Wan Nur Adli Tengah @ Wan Ngah, 35, berkata, semua cabaran itu tidak mematahkan semangatnya untuk terus menabur ilmu kepada pelajar istimewa.

Beliau yang mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Ibrahim Fikri, Kuala Nerus menyifatkan PdPR adalah kenangan paling manis yang tidak akan dilupakan sepanjang sembilan tahun bergelar guru kerana perlu mengajar tanpa bersemuka.– Bernama