Tujuh program AgriCop dilaksana di Samalaju

SEMANGAT… Peserta program AgriCOP penuh semangat untuk menceburi bidang pertanian.

RENCANA: Sektor pertanian merupakan salah satu sektor penting untuk menjana pedapatan negara.

Menyedari hakikat itu, pelbagai program telah diperkenalkan oleh kerajaan untuk memperkasa sektor berkenaan.

Malah pertanian dilihat sebagai salah satu perniagaan yang memberi prospek besar kepada seluruh masyarakat khususnya di negeri ini bagi membantu merapatkan jurang sosial dan ekonomi dalam masyarakat.

Ini sekali gus menyumbang kepada pembangunan taraf hidup masyarakat dan melonjak pertumbuhan ekonomi negara.

Di Sarawak, pelbagai program yang mendasari pembangunan telah dirangka dan dilaksanakan demi pembangunan sektor berkenaan.

Terkini, Kerajaan Sarawak telah melaksanakan Agriculture Community Outreach Programme (AgriCOP) untuk merapatkan lagi hubungan dan kerjasama antara Jabatan Pertanian dan golongan keluarga tani terutamanya di kawasan pendalaman.

Program pengembangan Agriculture Community Outreach (AgriCOP) telah dipergiatkan yang turut membabitkan penduduk di pendalaman agar mendapat mendapat manfaat daripada program berkenaan.

Seperti kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) lain di negeri ini, kawasan DUN Samalaju juga tidak terlepas daripada mengadakan program yang sama untuk tujuan mendedahkan kepada masyarakat setempat.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samalaju, sebanyak tujuh program untuk AgriCOP telah dilaksanakan di kawasan berkenaan menerusi pengelolaan Jabatan Pertanian Daerah Bintulu.

Katanya, kerajaan berharap dengan adanya AgriCOP akan menarik lebih ramai masyarakat menceburi diri dalam sektor berkenaan seterusnya dapat meningkatkan hasil pertanian mereka.

“Kita mengharapkan agar lebih ramai golongan keluarga tani terlibat dalam program seperti ini supaya mereka dapat meningkatkan pendapatan sekali gus mepertingkatkan taraf hidup,” ujarnya.

Sehubungan itu katanya, kawasan DUN Samalaju merupakan kawasan tumpuan utama memandangkan pertapakan pelbagai industri utama negara ditempatkan di kawasan ini.

Oleh itu, beliau yakin bahawa produk hasil pertanian pastinya mendapat permintaan tinggi bagi menampung keperluan makanan di daerah ini.

“Kita juga mengharapkan semua penduduk di kawasan ini bijak mengambil peluang khususnya untuk menceburi diri dan seterusnya memajukan industri pertanian kerana pasaran sayur-sayuran dan buah-buahan masih tidak mencukupi dan belum memenuhi permintaan pasaran,” katanya.

Kedudukan strategik Samalaju yang juga mempunyai dua buah pelabuhan laut dalam iaitu Pelabuhan Bintulu dan Pelabuhan Samalaju juga memberikan impak positif untuk memasarkan produk pertanian berkenaan.

“Sekiranya pengusaha menitik beratkan aspek kuantiti dan kualiti, maka harga pasaran hasil yang akan dijual sudah tentu akan meningkat”
“Bagi menambahkan lagi daya saing produk yang dihasilkan, proses tambah nilai dalam aspek pemprosesan, pengedaran, pembungkusan dan pemasaran perlu juga diberikan keutamaan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menyeru supaya golongan yang berminat untuk menceburi sektor pertanian ini dapat mendekatkan diri dengan Jabatan Pertanian untuk mempejari ilmu dalam bidang berkenaan.

Justeru katanya, AgriCOP telah dipelkenalkan sebagai salah satu inisiatif oleh kerajaan Sarawak melalui Jabatan Pertanian Sarawak untuk mengembangkan aktiviti-aktiviti pertanian di Sarawak dan memberikan pendedahan secara langsung kepada golongan sasar mengenai perkembangan pertanian terkini.

Oleh ELLIE EDWARD