RGL/TCA perlu dipercepatkan

“Kesepakatan yang dicapai oleh kerajaan susulan lawatan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ke Indonesia juga akan membantu ke arah kelangsungan ekonomi negara, sekali gus menjadikan hubungan Malaysia dan negara-negara yang terlibat terus akrab.”-Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim

KUALA LUMPUR: World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL) menyarankan agar Gelembung Perjalanan Laluan Hijau Timbal Balik/ Aturan Koridor Perjalanan (RGL/TCA) disegerakan, khasnya kepada perniagaan bagi melonjakkan pelaburan ekonomi di Malaysia.

Menurut Pengarah Eksekutif WTCKL, Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim, pelaksanaan ini perlu dipercepatkan terutamanya untuk industri acara perniagaan (BE) dan Mesyuarat, Insentif, Konvensyen dan Pameran (MICE) yang merupakan antara penyumbang terbesar ekonomi negara.

Katanya, kesepakatan yang dicapai oleh kerajaan susulan lawatan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ke Indonesia juga akan membantu ke arah kelangsungan ekonomi negara, sekali gus menjadikan hubungan Malaysia dan negara-negara yang terlibat terus akrab.

“Anggaran kerugian sebanyak RM2.25 bilion setakat Disember 2020 yang dilaporkan oleh Persatuan Penganjur dan Pembekal Persidangan dan Pameran Malaysia itu sangat membimbangkan pemain-pemain industri dalam meneruskan perniagaan serta kekal relevan,” katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata, industri MICE di Indonesia pula mencatatkan anggaran kerugian sebanyak RM783.7 juta hingga RM2.0 bilion yang memberi kesan kepada 90,000 pekerja dari industri tersebut.

Selain itu, menurut Irmohizam, industri BE dan MICE dapat disemarakkan di skala antarabangsa sekiranya RGL/TCA ini mendapat penglibatan negara-negara jiran seperti Brunei, Singapura dan Thailand serta anggota rantau Asia Pasifik seperti China, Taiwan, Hong Kong, Australia dan New Zealand. – Bernama