Padang ragbi di SMK Pesantren Abdul Taib Mahmud dalam pembinaan

DALAM PEMBINAAN …Tapak pembinaan padang ragbi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pesantren Abdul Taib Mahmud.

SADONG JAYA: Sebuah padang ragbi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pesantren Abdul Taib Mahmud yang dibangunkan menerusi peruntukan Kerajaan Sarawak kini dalam proses pelaksanaan.

Padang ragbi yang dibina itu adalah bagi memupuk minat pelajar terhadap sukan terbabit selain sebagai pelengkap kepada kemudahan sukan di sekolah berkenaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sadong Jaya, Aidel Lariwoo berkata, kesedaran para pelajar amat diperlukan agar dapat menyerlahkan potensi dan bakat mereka dalam bidang sukan ragbi.

Jelasnya, sukan itu juga mampu membina kekuatan dan sahsiah diri sekali gus melahirkan generasi muda yang aktif bersukan.

“Dengan siapnya projek ini akan memberi kemudahan sukan ragbi untuk pelajar di sekolah tersebut,” katanya semasa melakukan tinjauan di padang ragbi di SMK Pesantren Abdul Taib Mahmud pada Isnin.

Tambah beliau, kerja-kerja menanam rumput di padang ragbi berkenaan akan dilakukan dalam masa terdekat.