AirAsia benarkan satu bagasi kabin

Polisi Penjarakan Sosial Bagasi Kabin dengan membenarkan hanya satu beg tidak melebihi berat tujuh kilogram berbanding lima kilogram sebelum ini.

SHEILA ZAIDI

KUCHING: Syarikat AirAsia Berhad kini mengumumkan polisi Penjarakan Sosial Bagasi Kabin dengan membenarkan hanya satu beg tidak melebihi berat tujuh kilogram berbanding lima kilogram sebelum ini.

Syarikat penerbangan tambang murah ini mengumumkan polisi baharu ini selepas menerima reaksi daripada orang awam terhadap polisi sebelumnya.

“Namun demikian, penumpang tetap dibenarkan untuk membawa hanya satu beg sahaja di dalam kabin.

“Beg yang dibenarkan adalah berupa satu beg komputer riba atau satu beg tangan atau satu beg kecil sahaja,” kata syarikat itu yang dipetik melalui laman sesawang mereka semalam.

Menurut AirAsia, beg yang dibenarkan ini mesti mematuhi beberapa syarat untuk dibenarkan dibawa ke dalam kabin pesawat.

Syarat yang dikemukakan ialah, saiz beg atau bagasi hendaklah tidak boleh melebihi 40 sentimeter (ketinggian) x 30 sentimeter (lebar) x 10 sentimeter (panjang) dan tidak boleh melebihi tujuh kilogram.

Jika penumpang ingin membawa lebih daripada had kabin bagasi yang dibenarkan, mereka dicadangkan untuk membuat pra-tempah peruntukan bagasi berdaftar sebelum tempoh perubahan tamat, katanya.

Tambahnya, semua barangan yang dibeli di lapangan terbang  juga akan menjadi sebahagian daripada peruntukan bagasi kabin.

Hanya barangan bebas cukai yang dibungkus dalam beg plastik kedap udara lut sinar yang bertutup (sehingga ke destinasi terakhir anda) dan disertakan dengan bukti pembelian, dikecualikan daripada peruntukan bagasi kabin dengan syarat barangan tersebut adalah termasuk dalam peruntukan bebas cukai negara destinasi penumpang.

Sementara itu, bayi berumur di bawah dua tahun tidak diberikan sebarang peruntukan bagasi kabin.

Hanya kanak-kanak berumur dua tahun dan ke atas akan diberikan peruntukan bagasi kabin yang sama seperti syarat di atas, jelasnya.

Bagi kereta sorong bayi pula, boleh diangkut secara percuma seperti bagasi berdaftar dengan syarat barang-barang ini digunakan oleh kanak-kanak atau bayi tetapi jika tidak, peruntukan bagasi berdaftar mestilah dibeli.

Namun demikian, kereta sorong bayi pockit atau kereta sorong bayi yang boleh dilipat dibenarkan sebagai bagasi kabin dengan syarat ia memenuhi keperluan peruntukan bagasi kabin syarikat tersebut.

“Untuk penumpang yang menggunakan kerusi roda atau alat bantu pergerakan untuk bergerak pula, mereka boleh merujuk kepada soalan lazim dalam laman sesawang AirAsia mengenai kerusi roda atau alat bantu pergerakan dalam pesawat.

“Penumpang juga perlu memastikan bahawa mereka maklum mengenai barangan yang dilarang dibawa di dalam bagasi kabin, dan had yang dikenakan untuk cecair, aerosol dan gel,” tegasnya.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut berkenaan dengan polisi penerbangan AirAsia, orang awam boleh merujuk kepada bahagian soalan lazim yang terdapat dalam laman sesawang mereka.