Auckland ‘lockdown’

SUNYI SEPI… Kawasan restoran dan bar di Wynyard Quarter, biasanya sibuk dengan keramaian Piala Amerika, kini sepi ketika berikutan perintah ‘lockdown’ di Auckland. • Foto AFP

AUCKLAND: Bandar terbesar di New Zealand, Auckland semalam dikenakan sekatan pergerakan selama tiga hari, selepas tiga kes positif Covid-19 dilaporkan.

Perdana Menteri Jacinda Ardern ketika membuat pengumuman itu menerusi televisyen berkata, seluruh negara juga diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga.

Sehubungan itu, kira-kira dua juta penduduk Auckland diminta duduk di rumah mulai tengah malam tadi, manakala sekolah dan perniagaan bukan keperluan diarahkan ditutup.

Dalam pada itu, AFP melaporkan kes berkenaan adalah jangkitan pertama varian COVID-19 United Kingdom.

Bagaimanapun, siasatan masih dilakukan bagaimana virus itu boleh menjangkiti tiga sekeluarga itu, sedangkan mereka tidak mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara.

Ketua Pengarah Kesihatan negara itu, Ashley Bloomfield, berkata siasatan kini tertumpu kepada tempat kerja si ibu yang dikatakan bekerja dengan syarikat yang menyediakan perkhidmatan mencuci bagi penerbangan antarabangsa.

Bagaimanapun katanya, terlalu awal untuk membuat kesimpulan mengenai punca jangkitan berkenaan.

Ia memandangkan wanita itu sudah lapan hari tidak pergi ke tempat kerjanya sebelum disahkan positif.

Kes positif membabitkan tiga individu itu adalah penularan dalam komuniti yang pertama dalam tempoh beberapa minggu.

Ini adalah perintah sekatan kali pertama dalam tempoh enam bulan bagi negara yang sebelum ini menerima pujian kerana kejayaan menangani penularan pandemik COVID-19.

Ia berikutan kecekapan pihak berkuasa menguatkuasakan langkah sebaik setiap kes positif dikesan di negara itu.

Kebanyakan kes baharu dikesan daripada pengembara yang tiba di negara itu dan mereka segera dikuarantin untuk mengelak penularan dalam komuniti.

Sebelum ini, perintah sekatan selama dua minggu dikuatkuasakan di Auckland pada Ogos, selepas penularan jangkitan daripada pekerja syarikat pengendalian produk sejuk beku import.

Setakat ini, New Zealand merekodkan kurang 2,000 kes positif Covid-19 dengan hanya 25 kematian. – AFP