Sarawak United perlu stadium di Lembah Klang

DATUK POSA MAJAIS

SARAWAK United memerlukan bantuan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) bagi memilih stadium di sekitar Lembah Klang untuk dijadikan sebagai stadium tuan rumah.

Menurut Presiden Sarawak FA, Datuk Posa Majais, ini bagi memudahkan perlawanan liga untuk pasukan lawan menentang Sarawak United ketika Sarawak masih sibuk mengekang penularan Covid-19.

“Dengan Sarawak kini merupakan kawasan zon merah semestinya akan menyukarkan pasukan lawan untuk bertandang ke sini kerana perlu menjalani proses kuarantin terlebih dahulu.

“Keadaan ini pasti akan menyebabkan pihak lawan akan menolak untuk bermain di sini ekoran perlu mengikuti prosedur wajib tersebut,” katanya.

Tambah Posa lagi, Kerajaan Sarawak kini dilihat tidak akan mengugurkan sekatan perjalanan dalam masa terdekat dengan pengumuman lanjutan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) sehingga 1 Mac.

“Kita akan menghantar Rayuan kepada pihak MFL dan kita akan melihat jadual perlawanan dahulu sebelum membuat pengumuman rasmi,” katanya lagi.

Sarawak United dilihat bakal mencabar kedudukan liga primier setelah membawa masuk jurulatih berpengalaman B. Sathianathan dan beberapa pemain ternama tanah air dan import.

Oleh ASYRAF HALIM