Saribas bakal miliki Kompleks Sukan

MOHAMAD Razi Sitam

KAWASAN Dewan Undangan Negeri (DUN) Saribas bakal menikmati kemudahan sukan dengan pembinaan sebuah kompleks sukan dengan kos RM8.795 juta tidak lama lagi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas, Mohamad Razi Sitam berkata, Kompleks Sukan tersebut akan menyediakan kemudahan terbaik dan serba lengkap kepada penduduk yang terletak tidak jauh dari pekan Debak yang berkeluasan 10 ekar.

Menurutnya, projek pembinaan Kompleks Sukan tersebut adalah daripada Kerajaan Sarawak dengan peruntukan diluluskan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

“Proses tender projek pembinaan Kompleks Sukan ini telah dibuat pada minggu lalu dan akan bermula dalam tempoh terdekat dengan tempoh pembinaan dijangka mengambil masa 24 bulan,” katanya kepada Utusan Sarawak semalam.

Katanya, usaha tersebut merupakan langkah Kerajaan Sarawak melahirkan lebih ramai golongan muda dan belia dari kawasan luar bandar cemerlang dalam bidang sukan.

“Kompleks Sukan yang bakal dibina itu dilihat mampu memenuhi aspirasi masyarakat di kawasan ini khususnya golongan muda yang menantikan kemudahan seumpama itu.

“Saya mewakili penduduk Saribas mengucapkan terima kasih kepada Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang sentiasa mengambil berat terhadap keperluan belia-belia di Sarawak dalam usaha melahirkan ahli sukan berbakat yang mampu menyinar mewakili negara pada masa akan datang,” ujarnya.

Katanya lagi, kemudahan terbabit nanti akan bakal memberi manfaat kepada masyarakat lain dalam melaksanakan sebarang aktiviti riadah termasuk penganjuran sukan yang berskala besar.

“Kompleks Sukan ini akan dilengkapi pelbagai fasiliti lengkap, sekaligus dapat dimanfaat sebaiknya oleh masyarakat di DUN Saribas, dan pada masa sama memudahkan lagi penganjuran sebarang sukan yang lebih besar.

“Justeru, saya menghargai usaha Kerajaan Sarawak dibawah pimpinan Ketua Menteri, Abang Jo dalam merealisasikan impian masyarakat di kawasan DUN Saribas ini,” tambahnya.

Dalam pada itu, Razi melahirkan rasa kekesalan kerana projek terbabit telah dibatalkan semasa pemerintahan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.

Kompleks Sukan itu bakal mempunyai kemudahan seperti sebuah padang bola sepak, trek larian, kemudahan untuk acara lompat tinggi, lompat jauh, dewan, tempat letak kenderaan serta kemudahan dan keperluan sukan lain.

Oleh ADI SAFARMAN