58.62kg dadah bernilai RM1.87 juta dirampas

LAWATAN… Dato’ Sri Fatimah Abdullah ketika mengadakan lawatan kerja bersama Jawatankuasa Kerja Penguatkuasaan Aktiviti Penyalahgunaan Dadah dan Substance yang dipengerusikan YDH ACP Jasmirol Jamaluddin ke Kawasan Pemeriksaan Kastam, Lembaga Pelabuhan Kuching di Terminal Senari, semalam.

KUCHING: Sepanjang 2020, sebanyak 58.62 kilogram pelbagai jenis dadah dan barang larangan yang bernilai RM1.87 juta telah dirampas Jabatan Kastam melalui pelbagai jenis punca.

Menurut Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak (KWKPK) Dato’ Sri Fatimah Abdullah, risiko penyeludupan dadah dan substance atau barang-barang larangan yang lain melalui kargo di terminal pelabuhan adalah tinggi disebabkan kemasukan harian kargo yang semakin meningkat.

“Hasil lawatan ke Kawasan Pemeriksaan Kastam di Terminal Senari, Lembaga Pelabuhan Kuching petang ini (semalam) dapat dilihat bahawa mekanisme pengesanan yang agak terhad bagi memastikan tidak ada dadah dan barang larangan diseludup melalui kargo yang diisytiharkan oleh pengimport.

“Kita perlu menggunakan instrumen taktikal pengesanan yang bersesuaian, canggih dan berkesan bagi meningkatkan keupayaan dan impak pengesanan kargo yang diisytiharkan melalui pelabuhan utama di Sarawak,” katanya

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja bersama Jawatankuasa Kerja Penguatkuasaan Aktiviti Penyalahgunaan Dadah dan Substance yang dipengerusikan oleh Ketua Jabatan, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, YDH Asisten Komisoner Polis (ACP) Jasmirol Jamaluddin ke Kawasan Pemeriksaan Kastam, Lembaga Pelabuhan Kuching di Terminal Senari.

Fatimah yang juga Pengerusi, One Stop Committee (OSC) bagi Menangani Isu Dadah Dan Susbtance (MIDS) Negeri Sarawak berkata, kebanyakan rampasan dadah dan substance dalam jumlah besar yang dilakukan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di Sarawak sejak 2020.

“Seperti yang dilaporkan dalam Laporan Bulanan bagi Januari 2021 OSC bagi MIDS Negeri Sarawak pada 17 Februari, kebanyakan rampasan adalah berpunca daripada bagasi penumpang yang melalui pintu masuk ke Sarawak di lapangan terbang di negeri ini dan bungkusan dan parcel melalui syarikat kurier.

“Malah, rampasan juga turut dilakukan melalui pusat kargo di lapangan terbang utama di Sarawak seperti Kuching, Sibu, Bintulu dan Miri dan kargo melalui pelabuhan di Sarawak seperti di Pelabuhan Kuching, Sibu, Bintulu, dan Miri,” jelasnya.

Jawatankuasa Kerja Penguatkuasaan Aktiviti Penyalahgunaan Dadah dan Substance ini adalah satu daripada lima jawatankuasa kerja teknikal dibawah urus tadbir OSC bagi MIDS Negeri Sarawak yang ditubuhkan oleh Kerajaan Sarawak.

OSC ditubuhkan khusus bagi menangani penguatkuasaan pengedaran, penyeludupan dan pemilikan isu dadah dan substance secara bersepadu dan holistik, yang dianggotai oleh agensi penguatkuasaan serta bukan penguatkuasaan.

Oleh JEAKQLEYN YACHO