Pasar Sentral Sibu tutup hingga 28 Feb

PASAR SENTRAL SIBU… Ditutup sementara sehingga 28 Februari ini.

SIBU: Majlis Perbandaran Sibu (MPS) melanjutkan lagi tempoh penutupan sementara Pasar Sentral Sibu selama sembilan hari sehingga 28 Februari ini.

Pengerusi MPS, Clarence Ting berkata, ia bagi mematuhi arahan yang dikeluarkan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998 dalam usaha mengekang penularan Covid-19.

“Dengan ini, pihak majlis memohon kerjasama daripada semua penjaja dan peniaga di Pasar Sentral untuk mematuhi arahan tersebut demi untuk keselamatan bersama,” jelasnya menerusi satu kenyataan semalam.

Beliau menyeru semua pihak untuk memainkan peranan masing-masing dalam usaha memerangi penularan pandemik berbahaya itu.

“Tolong amalkan disiplin yang tinggi dan patuhi semua arahan serta prosedur operasi standard (SOP) dikeluarkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JBPN) Sarawak dari masa ke semasa berdasarkan situasi terkini Covid-19 di Sibu,” ujarnya.

Clarence menasihatkan penjaja, peniaga dan orang ramai yang ada mengalami sebarang gejala berkaitan Covid-19 atau mempunyai kontak rapat dengan mereka yang disahkan positif supaya segera menjalani ujian calitan RT-PCR Covid-19 di klinik kesihatan yang berhampiran, atau di fasiliti yang disediakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Pustaka Negeri, Sibu.

“Marilah berganding bahu dan terus memainkan peranan masing-masing, melakukan usaha kita dengan ikhlas dan menjadi warganegara yang bertanggungjawab untuk faedah, kesihatan dan keselamatan semua.

“Harus terus berwaspada, jaga penjarakkan fizikal, amalkan kebersihan tangan, kurangkan pergerakan yang tidak penting dan elakkan tempat yang terlalu sesak.

“Bersama-sama kita bertabah, memutuskan rantai jangkitan dan mengatasi situasi yang mencabar di Sibu ini. Terima kasih atas pengertian dan kerjasama yang baik,” ujarnya lagi.

Oleh AKUN GIMAN