Aren Lah pakar topi rotan

MINAT… Aren Lah juga mampu menghasilkan kraf tangan topi lelaki.

Gabungan idea kreatif dan kerajinan tangan boleh mencipta sesuatu yang unik, contohnya rotan boleh menghasilkan kraf tangan untuk banyak kegunaan.

Dari aspek ekonomi, kraf tangan ini dapat dijual bagi menjana pendapatan. Syaratnya, produk itu haruslah berkualiti dan cara pemasarannya juga tepat.

Rotan dapat menghasilkan banyak produk akhir yang menarik serta mendapat permintaan tinggi di pasaran. Semakin kreatif dan rumit rekaannya, maka harganya semakin meningkat serta menjadi rebutan ramai.

Tidak hairanlah mengapa ramai pengusaha kraf tangan gemar menghasilkan kraf tangan daripada rotan kerana ia ditransformasikan ke dalam banyak bentuk dan fungsi, selain mempunyai daya tahan yang tinggi.
 
Kraf yang diperbuat daripada rotan mempunyai banyak kelebihan termasuk ringan dan praktikal, anggun mudah disesuaikan dengan gaya dan keadaan, kata seorang pembuat topi daripada rotan,  Aren Lah.
 
Aren, 58 dari Long Keseh, Ulu Baram dan sekarang menetap di Marudi sudah lama berjinak dengan pembuatan kraf tangan.

“Sudah lebih 30 tahun saya menghasilkan kraf tangan dan seni ini saya pelajari daripada ibu dan saudara-mara yang lain. Saya tidak pernah mengikuti sebarang kursus bimbingan kraf tangan seperti orang lain,” katanya.

Kata Aren, kraf tangan juga lah sumber rezeki demi kelangsungan hidup keluarganya. Justeru menghasilkan kraf tangan berasaskan manik, bemban, rotan dan sebagainya sudah menjadi kerjayanya selama ini.

Malah katanya, sekitar tahun 2017 dan 2018 beliau amat aktif mempromosikan kraf tangannya , bukan sahaja di Sarawak tetapi hingga ke Semenanjung Malaysia.

Bagaimanapun, Aren lebih banyak memasarkan produknya di bandar berdekatan seperti Miri atau di Pasar Tamu Marudi, selain promosi secara atas talian.

Katanya, pergerakannya agak terhad sekarang kerana terikat dengan tanggungjawab untuk menjadi ibunya yang kurang sihat.

Di antara produk paling disukainya adalah topi rotan kerana merasakan paling mudah dihasilkan dan paling banyak gunanya untuk si pembeli.
 
“Untuk membuat topi rotan ini, saya menggunakan rotan saga kerana ia lembut dan mudah dibentuk apabila menganyamnya,” beritahu Aren.
 
Setiap topi rotan yang dihasilkannya ini dijual pada harga berpatutan, bergantung kepada saiz.

Dia bersyukur kerana sambutan daripada pelanggan amat menggalakkan dan ini memberi motivasi kepadanya untuk terus menghasilkan kraf tangan tersebut.
 
 “Jika kita berusaha dengan gigih, sabar dan memberi tumpuan kepada bidang yang kita ceburi, kita akan mendapat pulangan yang memberangsangkan,” tambah Aren.

Oleh JIKU JUGUONG