Limbang berpotensi jadi pengeluar Nanas Keningau Diamond

NANAS VARIETI BAHARU… Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berpuas hati dengan pelaksanaan Projek Perintis Tanaman Nanas Keningau Diamond yang berpotensi mendominasi pasaran nanas di Sarawak.

LIMBANG: Daerah Limbang berpotensi besar menjadi pengeluar buah Nanas Keningau Diamond.

Menurut Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat Dan Pembangunan Wilayah Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota Limbang, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, Projek Perintis Tanaman Nanas Keningau Diamond di Kampung Pandam Limbang menunjukkan perkembangan yang positif.

Justeru, ladang tersebut berpotensi untuk diperbesarkan sehingga 100 ekar lebih pada masa depan memandangkan masih ada 90 ekar lagi tanah milik petani yang masih kosong dan belum diusahakan.

Ladang tersebut juga menurutnya berpotensi menjadi pengeksport buah nanas varieti Keningau Diamond dan bekalan benih kepada petani-petani di Sarawak pada masa depan.

Beliau berkata demikian kepada pihak media sewaktu mengadakan lawatan kerja ke Tapak Projek Pertanian Berkelompok (Projek Perintis Nanas Keningau Diamond) di Kampung Pandam dan kebun persendirian milik Dollah Tarip di Bukit Bunut.

Seterusnya, Dr Abdul Rahman menjelaskan Kampung Pandam merupakan tempat pertama dipilih sebagai Projek Perintis Tanaman Nanas Varieti baru yang dinamakan Keningau Diomand.

Varieti ini hanya terdapat di negeri Sabah, di Keningau dan nanas jenis ini sangat manis dan berpotensi untuk dieksport ke luar negara.

“Kita telah memperkenalkannya di Sarawak dan memilih daerah Limbang untuk dijadikan sebagai tempat permulaan bagi menanam varieti ini secara berkelompok di Kampung Pandam ini.

Seramai 24 peserta terlibat mengusahakan tanaman ini yang mana setiap seorang mengusahakan satu ekar dan projek ini bemula sejak lapan bulan yang lalu dengan bantuan daripada Jabatan Pertanian dari segi pembersihan tapak ladang, menyediakan infra seperti perparitan dan juga input seperti benih dan baja,”tambahnya.

Beliau berpuas hati mendapati nenas ini hidup subur di sini dan yakin projek ini ada potensi untuk berjaya.

Malahan beliau juga memberitahu kawasan ini juga masih terdapat tanah kosong milik petani-petani di sini yang berkeluasan 90 ekar dan boleh diusahakan untuk pembesaran kawasan tanaman yang ada sekarang pada masa hadapan.

Kita percaya dengan perkembangan ini pertanian di Sarawak berada di landasan betul yang mana ramai orang Sarawak berminat dalam bidang pertanian kerana mempunyai potensi yang besar lebih-lebih lagi kerajaan sedang berusaha ke arah mencapai ‘food security’ dalam menghasilkan produk-produk yang berasaskan pertanian bukan sahaja untuk kegunaan sendiri malah untuk tujuan eksport,” ujarnya.

Daerah Limbang dan Bahagian Limbang mempunyai potensi yang begitu besar dalam sektor pertanian dan pihaknya akan berusaha bersama-sama dengan semua mereka yang berkepentingan seperti petani itu sendiri, Jabatan Pertanian dan sektor swasta yang mempunyai akses pemasaran ke luar negara.

“Kita mahu semua mereka ini bekerjasama supaya hasrat kerajaan tercapai iaitu bagi kita di Sarawak menjadi negeri pengeksport produk berasaskan pertanian menjelang tahun 2030,” katanya.

Turut hadir, Pegawai Pertanian Pembangunan dan Pengembangan Bahagian Limbang, Amirul Fikri Jemali, Jurutera Awam DID Bahagian Limbang, Mohamad Izzizi Abing dan Ketua Kampung Kampung Pandam, Abd Rahman Said.

Oleh ADENG EDRUS