Kes turun 16 peratus

SETAKAT ini wabak Covid-19 sudah meragut nyawa lebih 2.4 juta orang di seluruh dunia. • Foto AFP

GENEVA: Angka kes jangkitan baharu Covid-19 seluruh dunia dilaporkan turun sebanyak 16 peratus minggu lalu kepada 2.7 juta kes.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan, jumlah kematian baharu turut berkurangan sebanyak 10 peratus dari minggu ke minggu kepada 81,000 kes saja.

Lima daripada enam wilayah WHO di dunia turut melaporkan penurunan peratusan dua angka dalam kes baharu dengan hanya Timur Mediterranean menunjukkan kenaikan tujuh peratus.

Angka kes baharu turun 20 peratus minggu lalu di Afrika dan Pasifik Barat, 18 peratus di Eropah, 16 peratus di Amerika dan 13 peratus di Asia Tenggara.

Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus, berkata, jumlah kes baharu berkurangan untuk minggu kelima berturut-turut iaitu hampir separuh daripada lebih lima juta kes yang dilaporkan pada 4 Januari lalu.

“Ini menunjukkan bahawa langkah-langkah kesihatan awam dilaksanakan sepenuhnya walaupun terdapat varian lain yang kali pertama dikesan di Britain.

Yang penting sekarang adalah bagaimana kita bertindak balas terhadap trend ini dan jika kita berhenti melawannya, ia akan kembali menderu,” katanya.

Sementara itu, kemudahan COVAX iaitu pengedaran vaksin global yang bertujuan memastikan negara miskin mendapat mengakses dos berada dalam senarai terakhir penghantaran.

“Susulan lampu hijau WHO untuk suntikan AstraZeneca, COVAX menjangkakan sebahagian besar penghantaran pertama Mac ini dengan beberapa penghantaran awal pada akhir Februari ini,” menurut kenyataan bersama Covax dan WHO.

Kira-kira 145 ekonomi yang menyertai Covax akan menerima cukup dos untuk mengimunisasi 3.3 peratus penduduk mereka secara kolektif pada pertengahan 2021.

Pada masa sama, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyeru supaya usaha global menangani covid-19 diselaraskan, sambil memberi amaran bahawa jurang ketidaksamarataan dalam usaha awal membawa risiko kepada seluruh dunia.

Buat pertama kali dalam sejarah, sesi Majlis Keselamatan PBB menyaksikan menteri luar mengadakan mesyuarat mengenai vaksinasi secara dalam talian.

Ia dipengerusikan oleh Britain, yang menyatakan dunia mempunyai ‘tanggungjawab moral’ untuk bertindak bersama memerangi pandemik yang sudah meragut nyawa lebih 2.4 juta orang.

Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres menyuarakan kebimbangan apabila hanya 10 negara sudah memberikan 75 peratus dos setakat ini, manakala 130 negara lain langsung tiada vaksin.

“Dunia terdesak memerlukan pelan vaksinasi global untuk menyatukan semua yang mempunyai kuasa, kepakaran saintifik dan keupayaan penghasilan serta kewangan,” tegas Guterres.

Beliau berkata, Kumpulan 20 (G20) ekonomi utama berada dalam kedudukan terbaik untuk menubuhkan sebuah pasukan bertindak bagi pembiayaan dan pelaksanaan vaksinasi global dan beliau menawarkan sokongan penuh PBB.

“Jika virus ini dibiarkan berleluasa, ia akan bermutasi lagi. Varian baharu boleh menjadi semakin mudah menular, lebih berbahaya dan mungkin mengancam keberkesanan vaksin dan diagnostik sedia ada.

“Ini bermakna, pandemik akan berlarutan, membolehkan virus itu kembali menjadi musibah,” tambah beliau. – AFP