Perlu kerjasama semua pihak

FACEBOOK LIVE… Dato’ Sri Dr. Sim Kui Hian, Dr. Wong Chya Wei dan Wong Ching Yong (baju putih) pada sesi Facebook Live petang semalam.

SIBU: Segenap lapisan rakyat di negeri ini diseru supaya memberikan kerjasama untuk memastikan kelancaran program suntikan vaksin Covid-19.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Dato Sri Dr. Sim Kui Hian berkata, rakyat harus berganding bahu untuk memutuskan rantaian pandemik Covid-19.

“Penduduk di Sibu dan Kuching adalah antara yang terawal akan mendapat suntikan vaksin Covid-19 yang dijadualkan pada 27 Febuari ini. Keputusan ini dilakukan berikutan jumlah kes positif di Sibu yang masih meningkat.

“Pelancaran vaksin akan dilakukan serentak di Kuching dan Sibu kerana kita menyedari Sibu juga adalah kawasan berisiko tinggi,” jelasnya, pada sesi Facebook Live bersama Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Dudong, Wong Ching Yong petang semalam.

Katanya, Kerajaan Sarawak akan melihat kepada faktor kebolehcapaian untuk mendapatkan vaksin sebanyak mungkin.

“Penerimaan orang ramai untuk mendapatkan sekurang-kurangnya 70 peratus orang diberi vaksin agar dapat mewujudkan imunisasi berkumpulan dan bantuan yang diperlukan untuk memastikan orang ramai boleh mendapat vaksinasi,” ujarnya.

Dr. Sim menjelaskan, sebahagian besar fasa vaksinasi pertama akan diberikan kepada barisan depan akan dilakukan di klinik dan hospital, manakala fasa kedua vaksinasi akan dilakukan di hospital swasta dan klinik swasta.

“Program suntikan vaksin ini akan dibahagikan kepada beberapa fasa atau peringkat. Yang pertama kepada petugas barisan hadapan, diikuti warga emas yang berisiko tinggi dan warganegara berusia 18 tahun dan ke atas.

“Pada akhir bulan Mac, orang awam akan mulai diberi vaksin, jadi itulah mengapa kita tidak ingin orang hanya datang ke hospital atau klinik kerajaan tetapi semua hospital dan klinik swasta akan mendapat bahagian mereka,” ujarnya lagi.

Turut menyertai sesi Facebook Live tersebut ialah Pengerusi Majlis Perubatan Malaysia (MMC) Cawangan Sibu, Dr. Wong Chya Wei.

Oleh AKUN GIMAN