Kampung Sibu Laut jadi destinasi pelancongan

TERTARIK… Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi membuat lawatan ke Kampung Sibu Laut, semalam.

KUCHING: Kampung Sibu Laut yang dikelilingi kekayaan sumber alam semulajadi menjadikan ia sebagai kawasan yang amat sesuai dibangunkan sebagai destinasi pelancongan.

Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam dan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU)), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, selain kaya dengan sumber alam semulajadi, kampung tersebut juga mempunyai kemudahan lengkap seperti elektrik, air dan telekomunikasi.

“Penduduk nelayan di kampung tersebut adalah merupakan pembekal utama udang kara yang dihidangkan di kedai makanan laut di Kampung Telaga Air.

“Bilangan penduduk yang semakin bertambah selepas 30 tahun, menyebabkan pihak kami berusaha untuk memperbesar dan membangunkan kampung ini sekali gus memasang semua kemudahan asas demi keselesaan penduduk,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas membuat lawatan ke Kampung Sibu Laut, semalam.

Beliau yang juga merupakan Menteri Muda Utiliti (Bekalan Air) menjelaskan, pelancongan di kampung tersebut akan terus dipergiat bagi membantu meningkatkan sosioekonomi penduduk.

“Kita akan mempromosikan pelancongan di kampung ini agar ia dapat membantu meningkatkan sosioekonomi dan menjadikan kehidupan mereka lebih terjamin,” jelasnya.

Ujarnya lagi, beliau akan mengajak para pelabur luar untuk melabur bagi pembangunan di kampung tersebut pada masa akan datang.

“Mungkin ada pelabur yang berminat untuk membangunkan kemudahan pelancongan di kampung ini,” maklumnya.

Turut hadir, Ketua Kampung (KK) Sibu Laut, Senep Yasin.

Oleh ‘AINI ‘AFIFAH HAFIZ