800 pelitup muka berjaya dikutip

KUTIP… Antara peserta yang menyertai Program Virtual “Go Green -Community On Alert” anjuran Skuad Antidadah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Daerah Miri pada Sabtu.

MIRI : Lebih 800 pelitup separuh muka yang dibuang sembarangan sekitar Bandar Raya Miri berjaya dikutip menerusi Program Virtual “Go Green -Community On Alert” anjuran Skuad Antidadah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Daerah Miri, pada Sabtu.

Program itu dianjurkan sebagai usaha meningatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat agar bertanggungjawab dalam menjaga kebersihan dan memelihara alam sekitar. 

Program tersebut telah dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lambir, Ripin Lamat di pekarangan Pejabat AADK Daerah Miri.

Pengerusi Skuad Antidadah Miri, Azlan Hamdani berkata, aktiviti mengutip pelitup muka diadakan serentak bermula 9.00 pagi hingga 11.00 pagi secara virtual individu dan berkumpulan terhad dua hingga lima peserta sahaja di kawasan masing – masing di sekitar Bandar Raya Miri.

“Program disertai terhad 60 peserta dalam kalangan ahli Skuad Antidadah,Miri sempena sambutan Peringatan Hari Antidadah Kebangsaan 2021.

“Dalam tempoh dua jam, para peserta telah mengumpul lebih 800 pelitup separuh muka dan kesemuanya dihantar ke Pejabat AADK Daerah Miri sebelum diserahkan kepada Majlis Bandar Miri (MBM) untuk tujuan pembuangan dan pelupusan,” katanya menerusi satu kenyataan di sini.

Azlan berharap lebih ramai lagi yang akan menyertai Skuad Antidadah dan berminat dalam aktiviti kesukarelaan di kawasan Miri dalam usaha menyampaikan mesej antidadah dan menyebarkan perkhidmatan AADK.

Sementara itu, program tersebut diakhiri dengan majlis penutupan penyampaian hadiah dan cenderahati yang disempurnakan oleh Kaunselor Warzieda Ahmad yang mewakili Datuk Bandar Majlis Bandaraya Miri, Adam Yii.

Turut hadir, Ketua AADK Daerah Miri, Mazlan Jikran, Pengerusi SDG, Kaunselor Karambir Singh dan Timbalan Pengerusi Skuad Antidadah Miri, Ras Syazwan Rasli.

Oleh LIONG CHAI LING