Kuantan kini bandar raya

YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (dua, kanan) bersama Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah (empat, kanan) berkenan melihat replika Bandaraya Kuantan ketika mencemar duli menghadiri majlis Pemasyhuran Bandaraya Kuantan dan Perasmian Kompleks Bandaraya Kuantan, di sini,semamlam. Turut hadir Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin (kiri) bersama isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman (dua,kiri), Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail (tiga, kanan) dan Datuk Bandar Kuantan Datuk Hamdan Hussin (kanan). • Foto BERNAMA

KUANTAN: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengisytiharkan Kuantan, ibu negeri Pahang, sebagai bandar raya dalam majlis bersejarah semalam. 

Al-Sultan Abdullah dalam titah Diraja, menzahirkan hasrat mahu melihat Kuantan yang mula wujud pada pertengahan kurun ke-19 menerusi sistem penubuhan Kuantan Sanitary Board pada 1 Ogos 1913 terus mencipta lebih banyak kejayaan sebagai sebuah bandar raya yang unggul.  

“Namun, penubuhan sebuah bandar raya bukanlah semata-mata pada nama. Justeru, dalam meniti hari-hari mendatang, kerajaan negeri beta dan Majlis Bandaraya Kuantan hendaklah sentiasa menumpukan usaha ke arah peningkatan kesejahteraan dan perkhidmatan yang mengutamakan rakyat. 

“Marilah kita berdoa pada hari yang bersejarah ini semoga bandar raya Kuantan menjadi menjadi sebuah bandar raya unggul dan sentiasa berada dalam perlindungan Allah S.W.T,” titah Seri Paduka.

Al-Sultan Abdullah yang juga Sultan Pahang terdahulu berkenan mencemar duli menyempurnakan Majlis Pemasyhuran Bandaraya Kuantan di Kompleks Bandaraya Kuantan di sini, yang berlangsung dalam suasana sederhana, mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang berkuat kuasa di Pahang. 
 
Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut berangkat, diiringi anakanda-anakanda Seri Paduka Baginda Berdua termasuk Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah. 

Hadir sama ialah Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail,  Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Zuraida Kamaruddin, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah serta barisan pentadbiran negeri Pahang. 

Pada majlis itu, Al-Sultan Abdullah juga berkenan melantik Yang Dipertua (YDP) Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) Datuk Hamdan Hussin sebagai Datuk Bandar pertama Kuantan, selain berkenan merasmikan Kompleks Bandaraya Kuantan. Kuantan diisytiharkan sebagai ibu negeri pada 27 Ogos 1955. 

Wan Rosdy juga menyatakan kesediaan beliau bersama jentera pentadbiran negeri untuk berusaha sebaiknya dalam menjunjung titah Seri Paduka Baginda berhubung hasrat melihat Kuantan mencapai lebih banyak kejayaan. — Bernama