PdPR di pedalaman, bukti guru sedia depani cabaran masa kini

DI dalam keadaan serba kekurangan, ibu ini tekun membimbing anaknya melaksanakan PdPR.

SIRI II

Dalam kalangan ibu bapa, segelintir pasti berhadapan dengan kes anak-anak mereka yang lebih percayakan guru-guru, baik di dalam aspek pembelajaran mahupun perkara lain.

Jawapan atau alasan seperti “Cikgu Mason kata macam ni…”, “Cara Cikgu Mason tak sama dengan mama…” dan banyak lagi kerenah anak-anak apabila diajar oleh ibu bapa di rumah pasti memberi kesan kepada sesi Pengajaran dan Pembelajaran Di rumah (PdPR).

Tidak kurang juga ibu bapa yang menjadi ‘murid’ dan menyiapkan tugasan anak masing-masing atas pelbagai alasan seperti kasihan, anak enggan atau lambat menyiapkan tugasan dan sebagainya.

“Seperti kita sedia maklum, murid sekiranya di rumah, mereka agak kurang “takut” dengan ahli keluarga yang mengajar mereka. Jadi, mereka agak sambil lewa dalam menyiapkan tugasan yang diberi,” kata Cikigu Mason Maur Changan dari Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Balang, Kapit.

Beliau mengakui sukar untuk mendapat maklumbalas dan kerjasama daripada murid. Berbeza dengan situasi sekiranya di dalam kelas, murid lebih memberikan perhatian dan mereka akan menyiapkan tugas dengan adanya arahan daripada guru.

“Disebabkan ini, sukar untuk guru menilai tahap kefahaman murid dengan pengajaran dan tugasan yang diberi, seterusnya menyukarkan mereka untuk membuat penilaian yang tepat kerana tidak berada di depan murid,’ ujar beliau.

Sebagai penyelesaiannya, guru ini perlu mendapatkan kerjasama yang baik daripada ibu bapa untuk terus membantu membimbing anak-anak mereka di rumah. Bukan tidak mahu bertandang ke rumah panjang tetapi sebenarnya beliau tidak dibenarkan datang kerana Tuai Rumah tidak membenarkan orang luar masuk sepanjang pandemik ini.

Jadi, peraturan pertama Mason ialah tidak membenarkan ibu bapa atau ahli keluarga lain menyiapkan tugasan anak-anak mereka.

“ Saya juga minta ibu bapa memastikan anak mereka betul-betul menguasai subjek, baharulah bergerak kepada aktiviti atau topik yang lain.

Sekiranya belum, ibu bapa dibenarkan untuk meneruskan topik itu pada minggu seterusnya, termasuk memaklumkan perkembangan anak kepada guru bagi melihat perkembangan mereka,” kata Mason.

Cabaran dan kekangan yang dihadapi Cikgu Faisajuliza Fauzi dari SK Nanga Stapang juga tidak kurang hebatnya. Memiliki enam anak didik yang kebanyakannya dijaga oleh datuk dan nenek yang buta huruf dan buta Teknologi Maklumat (IT), tidak mengizinkan beliau meneruskan PdPR secara atas talian sepenuhnya.

Tambahan pula capaian internet yang tidak meluas, memang sudah membataskan usaha cikgu ini untuk tujuan tersebut.

“Terpaksalah saya pergi ke rumah panjang untuk membimbing dan membantu murid atau menghantar kertas tugasan kerana rumah panjang mereka jauh dari sekolah. Memang tidak mudah tetapi sudha menjadi tanggungjawab saya,” kata beliau.

Namun para guru ini bersyukur kerana kalangan ibu bapa di pedalaman memberi sokongan padu sepanjang PdPR berlangsung, malah melahirkan rasa bimbang anak-anak mereka tidak mendapat bimbingan secara terus daripada guru-guru berpengetahuan dan berpengalaman.

Sebagaimana kata Cikgu Stefanie Kaso dari SK Sungai Amang, semua pihak, dari guru, ibu bapa hinggalah murid sedang menyesuaikan diri setakat yang mampu.

“Guru akan pastikan pembelajaran sentiasa berlaku,dan ibu bapa membimbing mengikut keupayaan mereka. Agak payah, tetapi tidak mustahil. Kalaulah, keadaan ini berterusan, baik guru mahupun ibu bapa akan terus mencari cara terbaik utk memudahkan pembelajaran berlaku,” kata beliau.

Kata beliau lagi, pembelajaran bukan setakat menggunakan lembaran kerja kerana ada banyak lagi cara pembelajaran berlaku.

“Buat masa ini, rumahlah tempat pembelajaran paling banyak berlaku.

Membimbing anak, menyiapkan tugasan, menyediakan keperluan anak, semuanya proses pembelajaran,” tambah Stefanie.

MENANGANI PdPR

Menurut Mason, Manual PDPR 2.0 yang telah dibekalkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sudah memadai untuk dijadikan panduan dan rujukan guru-guru.

“Mungkin kalau tidak sesuai dengan sekolah luar bandar terutama untuk pedalaman, maka pihak pentadbir dan guru boleh berbincang untuk memikirkan kaedah yang wajar diambil bagi memastikan sistem PdPR dapat dijalankan dengan baik walaupun terdapat kekangan sedikit sebanyak,” kata Mason.

Hal ini dipersetujui oleh Cikgu Macliffton Tembak Sinau dari SK Nanga Pelagus kerana menurut beliau, ketika KPM memutuskan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) akan dilaksanakan melalui kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), KPM telah mengambil kira murid-murid di seluruh negara dengan merangkumi pelbagai latar belakang sosioekonomi.

“Sudah semestinya, setiap guru akan berdepan dengan pelbagai situasi dan cabaran yang berbeza mengikut kepada di mana lokasi sekolah guru tersebut. Sejak pertama kalinya PdPR dilaksanakan, KPM sentiasa menekankan bahawa kaedah PdPR yang ingin digunakan mestilah mengambil kira kesesuaian guru dan kesesuaian murid mereka,” tambah beliau.

Malah kata Macliffton, sepertimana yang dijelaskan dalam Manual PdPR KPM, PdPR tidak terhad kepada kaedah dalam talian sahaja.

Bagi murid yang tiada kemudahan untuk pembelajaran secara atas talian, guru-guru bertanggungjawab menetapkan pelbagai kaedah PdPR luar talian yang bersesuaian untuk murid mereka mengikut kepada tahap perkembangan murid.

“Seperti di sekolah saya, kaedah luar talian yang digunakan ialah melalui penyerahan modul pembelajaran atau latihan kepada murid,” kata Macliffton.

Murid akan melaksanakan PdPR dengan menyiapkan modul yang diberikan dan menghantar semula kepada guru untuk diperiksa.

Kemudian, guru akan menyerahkan modul yang berikutnya.

Jadi, modul pembelajaran 1 minggu ini diserahkan kepada murid melalui pelbagai pendekatan mengikut kepada inisiatif pihak sekolah sendiri dan persetujuan komuniti setempat.

Ada sekolah yang menggunakan kaedah pandu lalu untuk penyerahan modul kepada ibu bapa penjaga murid.

“Di pedalaman, saya boleh katakan seperti di sekolah saya, kami mendapatkan persetujuan daripada penduduk kampung bagaimana cara untuk mereka mengambil modul pembelajaran atau latihan kepada murid.

Pada hari isnin, wakil kepada penduduk kampung akan ke sekolah untuk mengambil bahan pembelajaran dan menghantar semula pada hari Isnin yang berikutnya,” kata beliau.

Malah kumpulan guru ini juga membuat kumpulan kecil dalam kalangan mereka bagi yang akan menghantar sendiri modul ke rumah murid atau ke rumah panjang dengan menaiki bot.

Jika murid ada persoalan mengenai modul atau bahan kerja yang diberikan, murid boleh bertanya kepada guru yang datang ke rumah mereka.

Kerjasama daripada ibu bapa penjaga dan komuniti setempat juga sangat memainkan peranan yang penting dalam menjayakan pengajaran dan pembelajaran di rumah, supaya anak murid tidak akan ketinggalan.

Namun beliau tidak menafikan ada kelompongan di dalam pelaksanaan PdPR, apatah lagi di kawasan yang tidak menikmati kemudahan bagi melancarkan pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran norma baharu ini.

Walaupun murid melaksanakan PdPR di rumah, menjadi persoalan utama bagi guru di pedalaman kerana kurangnya bimbingan. Ini kerana murid hanya berpandukan modul yang diberikan semata-mata.

“Namun, usaha guru di pedalaman untuk memastikan anak murid tidak ketinggalan, sangat membuktikan bahawa guru sanggup berhadapan dengan cabaran masa kini,” ujar beliau mengakhiri temu bual.

Oleh HAINI DARANI