MASkargo berjaya bawa masuk kumpulan pertama vaksin Covid-19 ke Malaysia

PROSES PEMINDAHAN VAKSIN… Sebanyak 312,390 dos vaksin jenis Pfi zer-BioNTech tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam. Sebaik mendarat, proses pemindahan vaksin yang ditempatkan dalam peranti muatan unit (ULD) dari bahagian kargo pesawat ke trak milik sebuah syarikat logistik, DHL Express berlangsung di kawasan Advanced Cargo Centre (ACC), KLIA. • Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Anak syarikat kargo Malaysia Aviation Group (MAG), MABkargo Sdn Bhd (MASkargo) semalam berjaya menerbangkan kumpulan pertama vaksin Covid-19 ke Malaysia.

Lebih 300,000 dos vaksin Pfizer BioNTech diangkut menggunakan pesawat penumpang Airbus 330-300 dengan kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Kementerian Pengangkutan, Kementerian Kesihatan, Pfizer, dan DHL Express.

Bercakap mengenai peristiwa bersejarah itu, Ketua Pegawai Eksekutif MAG, Kapten Izham Ismail berkata, kumpulan penerbangan itu bangga dapat berkhidmat untuk negara dalam misi yang amat penting ini ketika rakyat Malaysia dan penduduk berharap dapat menerima suntikan dos di bawah program vaksinasi nasional.

“Sebagai syarikat penerbangan negara, kami menggalas tanggungjawab untuk membawa vaksin secara serius, kerana kejayaan program vaksinasi ini adalah kunci dalam membantu negara mencapai pemulihan ekonomi dan kewangan,” katanya dalam satu kenyataan.

Walaupun sangat berpengalaman dalam menangani masa dan item yang sensitif terhadap suhu, Izham berkata kumpulan itu masih bekerja keras bagi memastikan segalanya berjalan lancar.

“Tenaga kerja mahir kami dan infrastruktur yang mencukupi adalah titik penting dalam memastikan pengendalian, pengangkutan dan pengedaran vaksin Covid-19 yang selamat dan bersih, ke Malaysia atau mana-mana bahagian dunia,” katanya.

Pengedaran vaksin Covid-19 melibatkan protokol pengangkutan dan keselamatan yang sangat berkoordinasi untuk memastikan penghantarannya selamat ke pusat vaksinasi utama.

MASkargo telah melakukan simulasi langsung dan perjalanan percubaan semasa penerbangan berjadual antarabangsa dan domestik sebagai persediaan untuk pelbagai jenis vaksin, yang masing-masing mempunyai keperluan logistik yang berbeza di Malaysia.

“Kami berpuas hati bahawa misi hari ini berjaya diselesaikan, dengan sokongan padu daripada kementerian dan rakan kongsi masing-masing.

“Kami menantikan misi serupa di masa depan, memanfaatkan rangkaian pengangkutan dan kepakaran global kami yang meluas dalam memastikan penghantaran vaksin Covid-19 yang berjaya,” tambah Kapten Izham.- Bernama