Sarawak United FC beraksi di Stadium Selayang

VENUE RASMI… Stadium Selayang di Selangor sebagai venue rasmi ‘home’ Sarawak United FC dalam saingan Liga Premier 2021.

SELEPAS dibayangi pandemik Covid-19 dan berehat hampir dua bulan, Liga Malaysia (Liga M) bakal kembali menemui peminat bulan depan apabila jadual rasmi perlawanan dikeluarkan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) semalam.

Seperti musim lalu, saingan akan berlangsung tanpa penonton dan di bawah prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Menerusi kenyataan MFL, kempen Liga Super dijadual membuka tirainya pada hari Jumaat, 5 Mac depan dengan aksi merebut Piala Sumbangsih di antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kedah Darul Aman FC di Stadium Sultan Ibrahim.

Sehari kemudian, empat lagi perlawanan akan berlangsung untuk saingan liga utama itu disusuli pertemuan Perak FC berdepan PJ City di Ipoh pada Ahad.

Dalam masa sama, saingan Liga Premier yang membabitkan 10 pasukan juga akan bermula pada Sabtu, 6 Mac dengan membabitkan dua pertemuan, Kelantan FC-Perak FC Dua dan Sarawak United FC-Kelantan United FC.

Sementara itu, pasukan Sarawak United FC akan menjadikan Stadium Selayang di Selangor sebagai venue rasmi tuan rumah kelab tersebut untuk pusingan pertama Liga Premier.

Mengikut jadual rasmi yang dikeluarkan oleh MFL, Sarawak United FC dijadualkan melayan kunjungan semua pasukan Liga Premier di stadium tersebut untuk semua perlawanan 6 Mac hingga 25 Julai kelak.

Perubahan venue tuan rumah untuk Sarawak United FC bukan satu perkara mengejutkan kerana Pengerusi Sarawak United, Datuk Posa Majais telah sebelum ini mengesahkan bahawa kelab tersebut sedang mempertimbangkan untuk menukar pusat mereka ke Lembah Klang buat sementara waktu.

Perubahan ini dilakukan bagi memudahkan Sarawak United mengharungi Liga Premier sepanjang pandemik Covid-19 masih menular.

Posa ketika mengumumkan kehendak itu, merasakan bahawa kelab bola sepak lain tidak akan mahu ke Kuching ekoran kuarantin wajib 14 hari yang dikenakan Kerajaan Sarawak bagi semua kemasukan ke Sarawak.

Bagi pasukan Kuching City FC, dijangka akan mengikuti jejak langkah Sarawak United FC yang berkemungkinan terpaksa ‘berhijrah’ ke Semenanjung Malaysia bagi menghadapi saingan musim baharu Liga Premier 2021 yang bermula 5 Mac ini sekiranya kerajaan negeri Sarawak kekal dengan prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 yang ketat.

Pengerusi Kuching City FC, Fazzrudin Abdul Rahman yang memetik laporan Bernama berkata pengurusan Kuching City FC telah bermesyuarat dan berbincang mengenai perkara tersebut pagi semalam.

“Sebagai permulaan kita berhasrat untuk cuba memohon kepada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), agar empat perlawanan awal kami diadakan di tempat lawan (Semenanjung), bertandang di tempat lawan dahulu memandangkan SOP yang mewajibkan pemain dikuarantin selama 14 hari jika balik ke Sarawak.

“Jika mereka (MFL) bersetuju, kami akan terus pergi ke Kuala Lumpur dan menetap di sana sepanjang empat perlawanan tersebut. Selepas empat perlawanan tersebut, kita akan melihat semula SOP kerajaan negeri Sarawak, jika SOP masih sama mungkin kita akan membuat keputusan untuk memilih satu stadium di Semenanjung sebagai gelangan tuan rumah kita buat sementara waktu,” katanya memetik laporan Bernama semalam.

Oleh ADI SAFARMAN