428 CALON TIDAK DUDUKI SPM

DOA… Kelihatan pelajar berdoa sebelum menjawab soalan peperiksaan SPM yang juga diadakan di seluruh negara bermula semalam.

KUCHING: Seramai 428 pelajar daripada 32 sekolah di seluruh Sarawak tidak dapat menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang berlangsung pada semalam.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, calon terbabit berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang seramai 414 orang dan dan 14 lagi positif Covid-19.

“Daripada jumlah tersebut, 205 pelajar ialah lelaki dan 223 pelajar perempuan,” katanya pada sidang media perkembangan Covid-19 di sini, semalam.

Terdahulu, Pengarah Pendidikan Negeri Sarawak, Dr. Norisah Suhaili memberitahu seramai 35,312 pelajar di Sarawak menduduki peperiksaan SPM 2020 yang bermula 22 Februari hingga 25 Mac 2021.

Jelasnya lagi, calon-calon berkenaan akan menduduki SPM di 294 pusat peperiksaan dengan diawasi seramai 226 penyelia kawasan dan 2,566 pengawas peperiksaan.

Oleh ASYRAF HALIM