Kim Shin sedia ketuai kumpulan pertama

DIRASMIKAN… Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Sebastian Ting (enam, kanan) semasa merasmikan program ‘Fat2Fit anjuran Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon Miri di Balai Bomba dan Penyelamat Lopeng di Miri, semalam.

MIRI: Menteri Pengangkutan, Datuk Lee Kim Shin dan Menteri Muda Pelancongan, Kebudayaan dan Keseniaan, Datuk Sebastian Ting bersedia memimpin kumpulan pertama menerima suntikan vaksin Covid-19 bagi Bahagian Miri, pada 6 Mac nanti.

Ting berharap, ini akan meningkatkan keyakinan masyarakat mengenai tahap keselamatan vaksin Covid-19.

“Datuk Lee dan saya telah berbincang akan memimpin kumpulan pertama menerima suntikan vaksin bagi Bahagian Miri dan kemungkinan wakil rakyat lain di sini akan menyertai kami bagi mendorong masyarakat di Miri untuk mendapatkan suntikan vaksin,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa ditemui media selepas melancarkan program ‘Fat2Fit’ anjuran Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon Miri di Balai Bomba dan Penyelamat Lopeng di sini,semalam.

Pada majlis tersebut,Ting turut menyerahkan sumbangan 500 unit pakaian perlindungan diri (PPE), 36 botol cecair sanitasi tangan dan 3,000 pelitup separuh muka kepada JBPM Zon Miri.

Sumbangan itu telah diserahkan kepada Ketua JBPM Zon 6 Miri, Law Poh Kiong.

Ting berkata, beliau secara suka rela untuk mendapatkan suntikan vaksinasi Covid-19.

Katanya, suntikan vaksin Covid-19 penting bagi mengekang penularan Covid-19 dan orang ramai tidak perlu berasa takut.

“Jika kita lihat jumlah di seluruh dunia, kira-kira 40 juta sudah menerima suntikan tersebut dan kesan negatif akibat suntikan ini adalah sangat rendah.

“Justeru, orang ramai tidak perlu bimbang dan saya sendiri menggalakkan isteri dan anak-anak serta saudara-mara untuk menerima suntikan ini kerana inilah tahap seterusnya untuk memerangi pandemik Covid-19,” ujarnya.

Oleh LIONG CHAI LING