SFC, OPSB ikrar jaga kelestarian hidupan liar

PERJANJIAN PERSEFAHAMAN … Zolkipli Mohamad Aton (enam, kanan) dengan Leo Biddle (empat, kiri) pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bertempat di pejabat SFC, semalam.

KUCHING: Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) terus mengikat erat tali kerjasama dengan Orangutan Project Sdn. Bhd. (OPSB) menerusi sebuah Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani kedua-dua belah pihak, semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif SFC dan Pengawal Hidupan Liar, Zolkipli Mohamad Aton berkata, MoU ini menjadi ikrar daripada pihaknya dalam usaha untuk menjaga kelestarian hidupan liar di negeri ini.

“SFC akan terlibat secara aktif dengan OPSB dan pakar dalam rangkaian mereka bagi meningkatkan mutu pemuliharaan dan perlindungan hidupan liar di Sarawak,” katanya ketika berucap pada Majlis Menandatangani MoU di pejabat SFC, di sini, semalam.

Menurut beliau, dengan termeterainya MoU ini, SFC akan meneruskan kerjasama dengan OPSB dan rangkaian mereka berkenaan isu-isu latihan dan kesejahteraan haiwan.

Tambahnya, kerjasama jangka panjang antara kedua-dua pihak yang diperbaharui ini juga bertujuan untuk mempromosikan pemuliharaan, ekopelancongan dan program sukarelawan di Pusat Hidupan Liar Matang.

“Sejak ikatan kerjasama antara OPSB dengan SFC terjalin 15 tahun yang lalu, kami telah berjaya melaksanakan beberapa projek kolaborasi yang berkaitan pemuliharaan hidupan liar.

“Antaranya, kami telah melepaskan lebih daripada 100 ekor ‘slow lorises’ (Nycticebus borneanus) yang dirampas dari pedagang, pengumpul dan pemburu haram, dan ada daripadanya diserahkan oleh warga Sarawak yang prihatin setelah menyedari ia spesis yang dilindungi.

“Sebanyak 20 peratus daripada keseluruhan bilangan tersebut dipantau selama enam bulan menggunakan kolar radio.

“Selain itu, kita juga telah melepaskan lima ekor tenggiling (Nycticebus borneanus) dan sebanyak 80 peratus telah dipantau menggunakan kolar radio selama tujuh bulan,” katanya lagi.

Beliau menambah, seramai kira-kira 2,000 sukarelawan telah terlibat dalam program pembinaan dan penyelenggaraan kemudahan untuk orang utan sejak tahun 2005 yang lalu.

Jelasnya lagi, kerjasama ini menunjukkan bahawa Sarawak komited untuk meningkatkan program pemeliharaan hidupan liarnya kerana ia adalah penjaga kawasan perlindungan dan hidupan liar di negeri ini.

Terdahulu, majlis menandatangi MoU ini telah disempurnakan oleh Zolkipli selaku wakil SFC dengan Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif OPSB, Leo Biddle, dan disaksikan oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif SFC, Abang Arabi Abang Aimran dan Oswald Braken Tisen.

Oleh AKMAL ADIB YUSUP