Jualan kraf atas talian dapat sambutan

DEMONSTRASI… Datuk Seri Nancy Shukri melakukan demonstrasi anyaman rotan iaitu ‘Bakul Pusak’ (kucing) di Kuching.

KUCHING: Platform jualan kraf menerusi atas talian terus mendapat sambutan yang menggalakkan sejak ia diperkenalkan pada tahun lalu, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri.

Beliau berkata, jumlah nilai jualan yang dicatatkan bagi Sarawak sahaja dalam tempoh April 2020 hingga Januari 2021 sudah mencecah sebanyak RM1.5 juta.

Menurutnya, nilai jualan yang direkodkan oleh Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (PKKM) Sarawak itu adalah hasil menerusi tiga platform iaitu E-Kraf Bazar, ‘My Craft Shoppe’ dan ‘Craft On The Go’.

“Secara keseluruhannya, seramai 270 usahawan telah menyertai tiga plarform jualan kraf menerusi atas talian ini, yang mana 140 daripadanya menggunakan platform E-Kraf Bazar.

“Seramai 86 usahawan pula membuat jualan menerusi ‘Craft On The Go’, manakala 44 usahawan lagi menggunakan platform ‘My Craft Shoppe’,” katanya dalam sebuah sidang media selepas mengadakan lawatan rasmi di PKKM Sarawak, di sini, semalam.

Beliau memberitahu platform pembelian yang dibangunkan oleh Kraftangan Malaysia ini adalah satu usaha murni untuk membantu pemain industri kreatif ini memasarkan produk mereka secara lebih meluas.

Tambahnya, dalam keadaan pandemik Covid-19 yang sedang melanda negara, platform seperti ini cukup signifikan bagi membantu pengusaha kreatif yang terjejas.

“Sejak mula beroperasi pada 15 Oktober 2020 yang lalu, ‘My Craft Shopper’ mempunyai sebanyak 696 produk kraf yang boleh didapati dan dibeli menerusi platform tersebut,” tambahnya.

Sementara itu, Nancy menerusi lawatan tersebut turut berkesempatan beramah mesra dengan usahawan kraf dan warga kerja PKKM Sarawak selain mendapatkan perkembangan terkini industri kraf di negeri ini.

Beliau yang diiringi Pengarah PKKM Sarawak, Azran Arip turut sempat menyaksikan pelbagai demonstrasi produk kraf iaitu pembuatan parang, perabot yang dihasilkan dari kayu belian serta pelbagai produk kraf dari anyaman rotan.

Oleh AKMAL ADIB YUSUP