Pelaksanaan POIS, sasar penurunan kadar jangkitan

LAWATAN … Datuk Seri Amirudin Shari (kiri) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Nestle (Malaysia) Berhad Juan Aranols (kanan) melihat produk Nestle ketika membuat lawatan ke kilang Nestle pada Pelancaran Program Pencegahan Penularan di Kawasan Titik Panas (POIS) di Seksyen 15 Shah Alam semalam. •Foto BERNAMA

SHAH ALAM: Selangor menyasarkan penurunan 50 peratus kadar jangkitan Covid-19 di tempat kerja khususnya di kawasan perindustrian dan perkilangan sekiranya program Pencegahan Penularan di Kawasan Titik Panas (POIS) dilaksanakan di seluruh negeri itu.

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata, pelaksanaan program tersebut dianggap perlu kerana 80 peratus kes di Selangor adalah berpunca daripada tempat kerja.

“Sekarang pusat epik jangkitan di Selangor adalah dari kawasan perindustrian iaitu kira-kira 70 hingga 80 peratus. Jadi, kalau kilang terutamanya dapat ikut sistem ini, saya yakin kes di tempat kerja boleh dikurangkan.

“Perkara ini boleh dilihat melalui POIS yang dijalankan di kilang Nestle Malaysia Bhd yang kadar jangkitan di sini kurang daripada satu peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melancarkan program POIS di Kilang Perusahaan Nestle Malaysia Bhd dekat sini, yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Perpaduan, Pembangunan Wanita dan Keluarga negeri Dr Siti Mariah Mahmud dan Ketua Pegawai Eksekutif Nestle Juan Aranols.

Amirudin berkata, program POIS itu memerlukan majikan
dan tempat kerja menjalankan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat dalam mengelakkan penularan Covid-19 antaranya melakukan rutin tapisan pekerja di kesemua pintu masuk, menyemak sejarah perjalanan pekerja di samping pelaksanaan ujian saringan secara berkala.

Amirudin berkata, buat masa ini, kerajaan negeri belum mewajibkan semua majikan mendaftar sistem tersebut namun akan meneliti kesesuaian pada masa hadapan.

Pada 6 Januari, Pasukan Petugas Khas Selangor untuk Covid-19 (STFC)  melancarkan program POIS bagi mencegah dan mengurangkan kluster tempat kerja.

Majikan mendaftar perlu menubuhkan jawatankuasa terdiri daripada beberapa kumpulan kecil dengan fungsi berbeza yang berperanan mengenal pasti kawasan dan aktiviti berisiko tinggi.

Jawatankuasa terbabit perlu merangka pelan tindakan kecemasan, mengurangkan kontak luar dan memastikan semua tatacara operasi piawai (SOP) dipatuhi. — Bernama