Lee Chang Hoon jadi penyelamat

LEE Chang Hoon merembat masuk sepakan penalti.

GOL jaringan dari pemain gantian Sarawak United, Lee Chang Hoon hasil daripada sepakan penalti berjaya mengikat Sabah FC dengan keputusan satu sama dalam perlawanan persahabatan semalam yang berlangsung di Kompleks Sukan PKNS.

Sarawak United dihadiahkan sepakan penalti selepas bola terkena tangan pertahanan pemain Sabah FC dan Lee Chang Hoon menyempurnakan sepakan tersebut pada minit ke 76.

Sebelum itu Sabah FC terlebih dahulu membuka jaringan melalui sepakan penalti dan disempurnakan dengan tenang oleh Bobby Gonzales pada minit ke 46.

Kesilapan pertahanan Sarawak United, Amir Saidin yang gagal mengeluarkan bola daripada kawasan penalti dan tindakan susulan yang kurang bijak menyebabkan bola terkena tangannya.

Sabah dilihat lebih bertenaga mengawal perlawanan pada separuh masa pertama perlawanan menyaksikan gawang Sarawak United diasak berkali-kali.

Setelah kemasukan Norshahrul Idlan Talaha dan pemain import baharu, Lee Chang Hoon, ia seakan-akan memberi nafas baharu dan pergerakan Skuad Sarawak dilihat lebih klinikal dan fokus untuk bergerak dan melancarkan serangan.

Berbaki 10 minit permainan, kedua-dua pasukan bermain dengan intensiti tinggi sambil membalas serangan sehingga tamat perlawanan yang berkesudahan seri 1-1.

Oleh ASYRAF HALIM