Penangguhan bayaran 9 bulan SPIKS

KUCHING : Kerajaan negeri mengumumkan penangguhan bayaran balik pinjaman selama sembilan bulan berkuat kuasa April ini bagi Skim Pinjaman Industri Kecil dan Sederhana (SPIKS).

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata ia akan manfaatkan 144 peminjam tertunggak SPIKS dan akan menambah baik aliran tunai Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) sebanyak RM1.3 juta.

“Kerajaan negeri juga mengumumkan tambahan RM20 juta kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) untuk membolehkan mereka mengembang dan mengekalkan perniagaan.

“Selain itu, kerajaan turut mengambil keputusan untuk memberikan diskaun 30 peratus untuk bayaran sewa tanah yang akan memberi manfaat kepada 52,403 sektor komersil, perindustrian, kediaman, ladang berskala besar dan kemudahan awam yang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media khas Covid-19 -Pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang di Wisma Bapa Malaysia di sini semalam.

Menurut Abang Johari, pendekatan pengurangan bayaran sewa tanah ini juga akan mengurangkan beban rakyat dan menelan belanja sebanyak RM11.84 juta.

Katanya, pakej bantuan khas ini turut melibatkan bayaran penangguhan sekali bayaran sampingan bagi premium tanah untuk tahun 2020 dan memberi manfaat kepada 1,721 pihak berkepentingan di seluruh Sarawak, termasuk unit pertanian, kediaman, komersil, perindustrian serta institusi swasta dan awam.

Antara lain pendekatan yang diumumkan oleh Abang Johari semalam ialah pengecualian sekali bayaran pelesenan hotel dan pemberian dua juta topeng hidung dan mulut percuma kepada rakyat Sarawak.

Sementara itu, kata beliau, kerajaan turut menyediakan sokongan khusus kepada petugas barisan hadapan yang menjalankan ujian, diagnosis, dan merawat pesakit berisiko Covid-19 sebanyak RM10 juta.

Kerajaan negeri juga katanya akan menyediakan bekalan makanan kepada petugas barisan hadapan ini . Pendekatan terakhir yang diumumkan dalam sidang media semalam ialah diskaun 50 peratus untuk enam bulan bagi sewa perumahan Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC).