59,000 dipindahkan

FOTO rumah yang dinaiki air banjir berhampiran sungai akibat ribut Dujuan Bandar Tandag,Filipina.• Foto AFP

FILIPINA: LEBIH 59,000 rakyat Filipina telah dipindahkan dari kediaman masing-masing susulan keadaan banjir disebabkan Ribut Tropika Dujuan, atau dikenali sebagai Auring, yang melanda negara itu pada Isnin.

Ribut berkenaan kini sedang melintasi Pulau Rapu-Rapu di Albay.

Kawasan paling teruk terjejas adalah Caraga dan Surigao del Sur dan sebagai langkah keselamatan, bekalan elektrik di Surigao del Sur telah diputuskan, jelas gabenor Ayec Pimentel.

Lebih 18,000 mangsa banjir telah dipindahkan ke pusat pemindahan sementara manakala 8,000 yang lain menumpang rumah keluarga mereka.

Kira-kira 36 penerbangan domestik dibatalkan manakala lebih 2,000 penumpang feri terkandas di beberapa pelabuhan di seluruh negara akibat keadaan laut yang bergelora.

Di Caraga, lebih 51,000 penduduk telah dipindahkan ke 331 pusat pemindahan sementara.

Di wilayah Bicol pula, sekurang-kurangnya 1,141 penumpang feri terkandas di tiga pelabuhan, menurut Lembaga Pelabuhan Filipina.

Di Pelabuhan Matnog pula, kira-kira 225 buah bas dan 80 buah kereta tersekat dalam kesesakan lalu lintas sepanjang lebuh raya akibat cuaca buruk.

Menurut Lembaga Atmosfera, Geofizik dan Perkhidmatan Astronomi Filipina hujan lebat dijangka di Camarines Norte, Quezon dan Aurora pada Selasa-AFP