LANGKAH PENULARAN TAMAT

ORANG PERTAMA… Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sedia menerima suntikan vaksin Covid-19 jenis Pfizer BioNTech daripada Ketua Jururawat Lina Ibrahim di Pejabat Kesihatan Daerah Putrajaya Presint 11 semalam. • Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Selesainya proses suntikan vaksin Covid-19 ke atas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin petang semalam menjadi simbolik bermulanya usaha kerajaan menamatkan penularan pandemik itu di negara ini. 

Suntikan yang diterima pemimpin utama negara itu bermakna Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dilancarkan secara rasmi dengan sasaran memberikan imunisasi percuma kepada kira-kira 80 peratus penduduk negara ini, baik rakyat tempatan mahupun warga asing.

Program vaksinasi itu bertujuan menyediakan perlindungan dalaman selain perlindungan luaran menerusi pematuhan terhadap tindakan pencegahan dan kawalan kesihatan awam serta pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Terdahulu, perdana menteri menerima suntikan dos pertama vaksin jenis Pfizer-BioNTech di Pusat Kesihatan Daerah Putrajaya, Presint 11 di sini pada kira-kira 2.45 petang semalam.

Turut menerima suntikan pertama semalam ialah Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dan empat petugas Kementerian Kesihatan (KKM), iaitu Dr Tan Yee Ling, Sheilla Mellissa Sikin, Khairul Asraf Mohd Yasin dan Clement a/l Marai Francis.

Kesediaan perdana menteri dan ketua pengarah kesihatan menjadi individu terawal menerima suntikan tersebut membuktikan bahawa vaksin itu selamat, sekali gus meningkatkan keyakinan rakyat untuk turut menerimanya,

Muhyiddin yang berkongsi pengalamannya menerima suntikan itu menyifatkan proses tersebut seperti suntikan biasa dan rakyat tidak perlu bimbang untuk menuruti langkah beliau menjadi penerima vaksin berkenaan.