23,400 dos vaksin selamat tiba di Kuching

SAKSI KETIBAAN… Datuk Amar Douglas Uggah Embas bersama Dato’ Sri Dr. Sim Kui Hian serta tetamu VIP lihat ketibaan kumpulan pertama Vaksin di kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) semalam. • Foto ANDRE OLIVEIRO

KUCHING: Ketibaan kumpulan pertama vaksin Pfizer-BioNTech di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) semalam merekodkan sebuah sejarah perjuangan Sarawak dalam usaha menentang wabak Covid-19.

Menurut Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dalam sebuah kenyataan media semalam, kumpulan pertama vaksin berkenaan adalah sebanyak 23,400 dos.

“Hari ini kita menyaksikan sejarah yang ditunggu-tunggu oleh rakyat Sarawak iaitu ketibaan kumpulan pertama vaksin Pfizer-BioNTech yang mana sebanyak 23,400 dos telah diterbangkan ke Sarawak.

“Ini merupakan penghantaran pertama dan ia akan disusuli oleh beberapa lagi penghantaran selepas ini dan jadual bagi Program Imunisasi Covid-19 pertama di Sarawak akan bermula di Kuching dan Sibu bermula Jumaat ini dan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg akan menerima suntikan pertama.

“Seterusnya, ia akan disusuli oleh vaksinasi terhadap petugas barisan hadapan khususnya kakitangan perubatan dan keselamatan. Pada etika ini, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dan Pejabat Residen seluruh negeri sedang bekerjasama dan berusaha bagi menyediakan perkhidmatan lojistik untuk memastikan penghantaran vaksin ke semua kawasan termasuk di pedalaman berjalan lancar,” jelasnya.

Di samping itu, Uggah menyatakan bahawa pendaftaran pendaftaran sebagai penerima vaksin Covid-19 boleh dilakukan menerusi aplikasi MySejahtera atau boleh datang ke Pejabat Daerah dan saya berharap rakyat mampu bersabar kerana program vaksinasi yang akan dijalankan memerlukan banyak proses yang teliti bagi memastikan semua dapat menerima vaksinasi tersebut.

Dalam pada itu, Pengarah Kesihatan Negeri Sarawak, Dr. Chin Zin Hing memaklumkan bahawa fasa pertama vaksinasi di Sarawak mensasarkan seramai 97,161 petugas barisan hadapan sehingga 31 Mac.

“Penghantaran kedua sebanyak 31,590 dos vaksin dijangka tiba di Kuching pada 2 Mac, penghantaran ketiga sebanyak 4,680 dos pada 10 Mac, penghantaran keempat pada 17 Mac juga sebanyak 4,680 dos, penghantaran kelima pada 24 Mac sebanyak 14,040 dos manakala penghantaran keenam pada 31 Mac sebanyak 9,360 dos.

“Fasa pertama vaksinasi akan bermula pada Jumaat ini sehingga 31 Mac. Manakala, fasa kedua dan ketiga vaksinasi pula akan bermula pada 1 April dan dijadual atau dijangka selesai pada 31 Ogos.

“Proses vaksinasi yang dilakukan dalam tiga fasa ini akan memberi fokus kepada petugas barisan hadapan, kumpulan berisiko tinggi dan orang awam yang berumur 18 tahun dan ke atas,” jelas beliau.

Oleh RYNNA SHA’ERRA