KPDNHEP pantau penjualan LPG

PERIKSA… Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Sarikei menjalankan pemeriksaan terhadap penjualan LPG di peringkat borong dan runcit sekitar Sarikei.

SARIKEI: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sarikei menjalankan pemeriksaan terhadap penjualan Gas Petroleum Cecair (LPG) di peringkat borong dan runcit sekitar Sarikei.

Ketua KPDNHEP Sarikei, Mohamad Zawawi berkata, pemeriksaan dijalankan sejak 18 Februari lalu hingga semalam.

“Pemeriksaan di peringkat borong dan runcit bermula dari 18 Februari lalu dan sehingga hari ini (semalam), sebanyak 21 permis diperiksa iaitu enam pemborong dan 15 peruncit di sekitar Sarikei.

“Pemeriksaan adalah bagi mempertingkatkan aktiviti penguatkuasaan ke atas mana-mana peniaga sama ada di peringkat peruncit atau borong supaya tidak menjual LPG melebihi harga kawalan, mempunyai lesen menjual LPG yang sah, mematuhi syarat sah lesen, mempamerkan tanda harga serta caj penghantaran (jika disediakan) semasa menjalankan aktiviti perniagaan agar tidak mengelirukan atau memperdayakan pengguna,” katanya.

Katanya, hasil pemeriksaan menghasilkan sebanyak dua kes dengan nilai rampasan berjumlah RM16,750 yang mana satu kes di peringkat pemborong dan satu kes di peringkat peruncit di bawah kesalahan Akta Kawalan Bekalan 1961.

“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh didenda tidak lebih dari RM1 juta dan penjara tidak lebih daripada tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” ujarnya.

Tambahnya, orang ramai yang ingin membuat aduan boleh menyalurkan kepada KPDNHEP melalui talian hotline kementerian di 1-800-886-800 atau portal e-aduan http://eaduan.kpdnhep.gov.my atau hadir sendiri ke pejabat KPDNHEP Sarikei supaya tindakan sewajarnya boleh diambil.

“Bilik gerakan Enforcement Command Centre (ECC) KPDNHEP Sarikei juga dibuka dari 8.00 pagi hingga 5.00 petang setiap hari dan boleh dihubungi untuk menyalurkan aduan di talian 084-657751,” katanya.

Oleh EARL ANEK