Petronas temui gas di Baram

KUALA LUMPUR: Petroliam Nasional Bhd (Petronas) mengumumkan penemuan gas daripada cari gali telaga Dokong-1 di Blok SK417 Kontrak Pengeluaran Bersama (PSC) yang terletak di perairan cetek Wilayah Baram, kira-kira 90 kilometer di luar pantai Sarawak.

Anak syarikat Petronas, Petronas Carigali Sdn Bhd mempunyai kepentingan penyertaan sebanyak 20 peratus dalam Blok SK417 PSC manakala pengendalinya, PTT Exploration and Production Public Company Ltd (PTTEP) menerusi anak syarikat milik penuhnya PTTEP HK Offshore Ltd, mempunyai kepentingan penyertaan sebanyak 80 peratus.

PSC berkenaan ditandatangani pada Mac 2018 berikutan Pusingan Bidaan Malaysia 2017.

“Cari gali telaga Dokong-1 merupakan satu daripada beberapa kejayaan Malaysia baru-baru ini dalam aktiviti cari gali.

“Penjanaan keuntungan daripada penemuan gas di Wilayah Baram dapat disokong melalui infrastruktur sedia ada dan akan menyumbang kepada aspirasi Petronas dalam menyampaikan bekalan tenaga yang boleh dipercayai, stabil dan bersih kepada pasaran global dan domestik,” kata Naib Presiden Kanan Pengurusan Petroleum Petronas, Mohamed Firouz Asnan.

Beliau berkata, penemuan Dokong-1 memberikan semangat baharu kepada keseluruhan landskap cari gali di Wilayah Baram dan memperkukuhkan peranan rangkaian bekalan gas Baram sebagai sebahagian daripada sistem gas Sarawak yang lebih luas.

“Petronas, bersama-sama pihak PSC ketika ini sedang melaksanakan penilaian selanjutnya untuk menentukan had sepenuhnya penemuan itu,” katanya.

Menurut kenyataan itu, cari gali telaga Dokong-1 berjaya digerudi sehingga jumlah kedalaman 3,810 meter pada pertengahan Januari 2021.
“Penemuan ruang gas berukuran melebihi 80 meter di takungan Middle to Late Miocene Kitaran VI-VII mengesahkan lagi potensi prospek yang berbaki di Wilayah Baram.

“Penemuan gas bebas pencemaran di Dokong-1 turut membuktikan kewujudan lebih banyak peluang gas di kawasan itu,” katanya.

Sementara itu, PETRONAS akan menawarkan empat blok perairan cetek di Sarawak sebagai sebahagian daripada Pusingan Bidaan Malaysia 2021 yang akan bermula pada 26 Februari ini.

Maklumat lanjut mengenai peluang pelaburan di Malaysia boleh didapati di https://www.petronas.com/mpm/.

Sementara itu, Kerajaan Negeri Sarawak berkata, ia akan mengadakan perbincangan lanjut dengan Petronas susulan pengumuman syarikat minyak dan gas negara itu mengenai penemuan dua medan gas yang terletak di luar pesisir negeri itu.

Pejabat Ketua Menteri Sarawak dalam kenyataan semalam berkata, Kerajaan Negeri telah dimaklumkan oleh Petronas mengenai penemuan di telaga penilaian cari gali Lang Lebah-2 serta Blok SK410B di Wilayah Luconia Tengah dan Dokong-1 di Blok SK417.

“Perbincangan selanjutnya akan diadakan di antara Petronas dengan Kerajaan Negeri berdasarkan syarat-syarat Perjanjian Penyelesaian Komersial (CSA) yang akan mewujudkan manfaat yang lebih besar kepada Sarawak dan Petronas,” katanya.

CSA berkenaan ditandatangani oleh Kerajaan Negeri dan Petronas pada 7 Disember tahun lepas untuk mewujudkan rangka kerja yang membolehkan Sarawak terlibat lebih aktif dalam aktiviti minyak dan gas darat menerusi Petroleum Sarawak Bhd (Petros).- Bernama