RENTAS ZON • Kekal tidak dibenarkan, hingga 15 Mac

KUCHING: Pergerakan antara zon kekal tidak dibenarkan di sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Sarawak bermula dari 2 hingga 15 Mac ini.
 
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) semalam mengeluarkan Operasi Prosedur Standard (SOP) yang dikemaskini pada 26 Februari lalu berkata penguatkuasaan PKPB itu melibatkan 19 zon di seluruh negeri ini.
 
“Pergerakan antara zon adalah tidak dibenarkan kecuali bagi ‘Perkhidmatan Perlu’ dan mendapat kelulusan permit dari pihak polis.
 
“Bilangan penumpang dalam kenderaan persendirian adalah mengikut kapasiti kenderaan. Namun, individu yang berisiko tinggi dan kanak-kanak tidak digalakkan keluar ke kawasan awam, terbuka dan sesak.
 
“Aktiviti dan perkhidmatan di semua lapangan terbang dan pelabuhan dibenarkan beroperasi,” katanya.
 
SOP yang baharu dikemaskini turut menetapkan perkhidmatan pengangkutan awam seperti bas henti-henti, bas ekspres, feri, kapal terbang, teksi atau e-hailing dan lain-lain pengangkutan awam dibenarkan beroperasi yang mana waktu operasi adalah seperti ketetapan dan berdasarkan kapasiti kenderaan.
 
Selain itu, perkhidmatan penghantaran makanan juga dibenarkan beroperasi dari jam 6.00 pagi hingga 10.00 malam sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
 
Tambah JPBNS, perniagaan ekonomi dan industri dibenarkan beroperasi seperti yang ditetapkan oleh Kerajaan.
 
“Pasar Raya, Pusat Beli Belah dan Retail Store dibenarkan beroperasi mengikut SOP yang ditetapkan antara 6.00 pagi hingga 10.00 malam.
 
“Restoran, kedai, gerai makan, kenderaan bersaji (food truck ), penjaja tepi jalan, penjaja beredar, medan selera, gerai makan tepi jalan atau kiosk, kedai runcit dan kedai serbaneka dibenarkan beroperasi antara 6.00 pagi hingga 10.00 malam dengan pematuhan kepada SOP Sektor Makanan.
 
“Manakala, operasi pasar harian, pasar borong, pasar tani, pasar malam dan Bazar Larut Malam (uptown, downtown dan seumpamanya) adalah mengikut waktu mula operasi mengikut lesen/permit sehingga 10.00 malam dengan pematuhan SOP dan pengawasan pihak berkuasa serta anggota RELA,” katanya.
 
Selain itu, operasi pasar tani, pasar malam dan Bazar Larut Malam (uptown, downtown dan seumpamanya) bagi zon yang diisytiharkan sebagai merah tidak dibenarkan beroperasi.