Dron pantau kawasan kerap terbakar

TAKLIMAT… Datuk Lee Kim Shin tinjauan dan mendengar taklimat mengenai masalah pembakaran terbuka di Menara Peninjau Tudan, Miri, semalam.

MIRI : Semua jabatan dan agensi berkaitan diminta bersiap siaga bagi menangani masalah pembakaran terbuka di kawasan kerap kebakaran terutamanya di Kuala Baram, Tudan dan Permyjaya yang merangkumi sebahagian besar kawasan gambut di sini.

Menteri Pengangkutan, Datuk Lee Kim Shin berkata, seperti yang dijangkakan akan tiba musim kering dalam beberapa bulan mendatang, pembakaran terbuka agak membimbangkan dan ini akan menyebabkan masalah jerebu dan kebakaran tanah gambut.

“Mulai hari ini (semalam), anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) akan ditempatkan di Menara Peninjau Tudan untuk memantau pembakaran terbuka dan gambut yang mencurigakan.

“Pada masa yang sama, pihak Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar dan Jabatan Alam Sekitar telah diminta untuk menerbangkan dron mereka untuk menjalankan kerja-kerja pemantauan di kawasan yang kerap kebakaran tersebut.

“Kedua-dua agensi telah mengesahkan bahawa mereka akan melakukan pemantauan setiap hari untuk memerhatikan sebarang kemungkinan aktiviti kebakaran,” katanya menerusi satu kenyataan selepas meninjau dan mendengar taklimat mengenai masalah pembakaran terbuka di Kuala Baram minggu lalu di Menara Peninjau Tudan di sini, semalam.

Hadir sama, Pemangku Residen Miri, Abdul Aziz dan Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Zon Miri, Law Poh Kiong.

Minggu lalu, kebakaran belukar dikesan berlaku di Kuala Baram, disebabkan oleh aktiviti pembakaran terbuka yang dilakukan oleh petani tertentu untuk aktiviti pertanian.

Sementara itu, Kim Shin akan mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Miri untuk menyusun strategi pengawasan, pencegahan dan penegakan untuk mencegah kebakaran gambut dan belukar di kawasan kerap kebakaran.

Oleh LIONG CHAI LING